harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Suami isteri hampir dilenyek kereta selepas terjatuh akibat motosikal ditunggang mereka dirempuh pemandu yang melanggar lampu isyarat merah di Persiaran Kemajuan, di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku pada 11.20 pagi Sabtu dipercayai berpunca daripada kereta jenis Honda berwarna hitam yang melanggar lampu isyarat merah untuk ke kanan.
“Tindakannya menyebabkan berlaku pelanggaran dengan motosikal yang bergerak lurus dari arah bertentangan, mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal terjatuh ke atas jalan.
“Mereka kemudian dilanggar kereta jenis Perodua Myvi dari arah yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasangan itu yang kedua-duanya berusia 26 tahun cedera dan dibawa ke Hospital Sungai Long Specialist dan Hospital Serdang untuk menerima rawatan.
Katanya, dalam soal siasat pemandu Honda yang juga wanita, 59, mendakwa keliru dan menyangka lampu isyarat hijau sama bagi lorong lurus dan ke kanan menyebabkan dia meneruskan perjalanan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 dan boleh juga dipenjara hingga tidak lebih dua belas bulan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Sarjan Nur Izzatul Aira Ariffin di talian 017-2737696,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd