
Seorang pelakon lelaki dari China menjadi perhatian ramai di media sosial selepas penampilannya yang jauh lebih muda daripada usia sebenar menyebabkan dia sering disalah anggap sebagai anak kepada isterinya sendiri.
BEIJING – Seorang pelakon lelaki dari China menjadi perhatian ramai di media sosial selepas penampilannya yang jauh lebih muda daripada usia sebenar menyebabkan dia sering disalah anggap sebagai anak kepada isterinya sendiri.
Hou Xiang, 40, kembali menjadi bualan netizen apabila gambar bersama isterinya tular di platform sosial China. Ramai pengguna internet berpendapat pasangan itu kelihatan seperti ibu dan anak lelaki berbanding suami isteri.
Bagaimanapun, Xiang mengakui dia sudah lama terbiasa dengan tanggapan sedemikian dan tidak lagi mengambil hati terhadap komen orang ramai.
Menurut laporan media tempatan, Xiang dilahirkan secara pramatang akibat ibunya mengalami masalah kekurangan zat makanan ketika hamil. Keadaan itu menyebabkan fizikalnya lebih kecil berbanding rakan sebaya sejak kecil.
Perkembangan fizikalnya juga dikatakan terhenti ketika berusia sekitar sembilan tahun, menyebabkan wajah dan tubuh badannya kekal seperti kanak-kanak walaupun meningkat dewasa.
Dengan sokongan keluarga, Xiang memilih bidang lakonan sebagai kerjaya. Namanya mula dikenali ramai pada tahun 2005 selepas membintangi drama komedi situasi popular, Home with Kids, ketika usianya 19 tahun.
Selepas itu, dia terus membina nama menerusi beberapa drama terkenal termasuk Stepfather, Chuang Guandong dan Tunnel Warfare, yang kebanyakannya memerlukan dia membawa watak remaja atau kanak-kanak.
Xiang berkata, penampilan serta suaranya yang kedengaran kebudak-budakan sedikit sebanyak mengehadkan pilihan watak yang boleh dilakonkan. Namun, dia tetap komited untuk memberikan persembahan terbaik dalam setiap naskhah.
“Saya tahu bukan mudah untuk mendapatkan skrip dan watak yang benar-benar sesuai dengan diri saya.
“Namun, saya mahu memberikan yang terbaik dalam setiap peranan yang diberikan dan itu sudah dianggap satu pencapaian buat saya sebagai pelakon,” katanya. – Agensi



