Suami isteri warga emas dikhuatiri lemas, kereta terjunam ke Sungai Rompin

Suami isteri warga emas dikhuatiri lemas, kereta terjunam ke Sungai Rompin

am@hmetro.com.my

Rompin: Sepasang suami isteri warga emas dikhuatiri lemas selepas kereta dinaiki mereka dilaporkan terjunam dan tenggelam di Sungai Rompin, dekat Kampung Rantau Panjang, di Kuala Rompin, di sini, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 4.55 petang.

Menurutnya, 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendapat laporan.

“Peringkat awal operasi mencari dan menyelamat dilakukan menerusi teknik pencarian di permukaan air.

“Kedalaman sungai di lokasi kejadian dianggarkan lebih tiga meter dan parasnya dilaporkan sedang meningkat kerana air pasang,” katanya ketika dihubungi.

Zulfadli berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pekan sudah tiba di lokasi kejadian untuk membantu operasi mencari dan menyelamat.

Menurutnya, pasukan terbabit sudah melakukan selam skuba di lokasi kejadian untuk mengesan kereta dinaiki dua warga emas terbabit tetapi mangsa dan kereta dilaporkan terjatuh ke sungai itu belum dijumpai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif, berkata operasi mencari dan menyelamat sedang giat dilakukan.

Menurutnya, pasukan terbabit dengan operasi itu berdepan dengan cabaran arus sungai deras.

Katanya, identiti dua mangsa dilaporkan hilang itu belum diperoleh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top