Suami lupa basuh pinggan, Dahlia Rizal merajuk tidur luar bilik

Suami lupa basuh pinggan, Dahlia Rizal merajuk tidur luar bilik

Gara-gara suaminya terlupa mengemas dan membasuh pinggan selepas makan, pempengaruh media sosial Dahlia Rizal merajuk tidur luar bilik.

Menurut Dahlia, tindakan tersebut merupakan ‘protes’ terhadap Imran kerana tidak membantunya mengemas dapur selepas memasak makanan kegemaran, lapor Harian Metro.

Dahlia Rizal merajuk tidur luar bilik

“Kesalahan yang dilakukan Imran kecil saja iaitu tidak mengemas dan membasuh pinggan selepas saya menyediakan ayam masak kicap kegemarannya.
“Jadi saya pun ambil keputusan tidur luar bilik dan baring di atas sofa ruang tamu. Saya ingatkan dia tidak akan pujuk, tapi dia datang dan dukung saya.
“Saya saja gaduh-gaduh manja dengannya sebab saya nak ajar dia supaya tidak mengulangi perkara itu pada masa akan datang.
“Saya tak nak dia terbiasa dengan keadaan itu, tapi dia beritahu bukan tidak mahu mengemas sebaliknya terlupa,” kata Dahlia.

Dahlia juga mendedahkan bahawa mereka sentiasa mengamalkan konsep saling bantu-membantu dalam menjalani kehidupan rumah tangga mereka.

Ditanya mengenai perancangan untuk menimang cahaya mata, Dahlia berkata dia belum bersedia untuk mempunyai zuriat dalam waktu terdekat.

“Sebelum bernikah, keluarga saya sudah ajak berbincang mengenai perancangan untuk mendapatkan zuriat kerana mereka nak saya ada anak segera.
“Tapi saya beritahu belum bersedia lagi kerana ada keinginan yang saya nak capai dulu dan untuk mendapatkan apa yang saya hajati, saya perlu bekerja keras,” ujarnya.

Artikel berkaitan: Imran Aqil tersipu malu, kejut tunang bangun solat Subuh depan rakan

Jelasnya, dia belum bersedia untuk menimang cahaya mata kerana komitmen terhadap kerja selain masih mahu meluangkan masa berdua bersama suaminya yang juga penyampai radio Hot FM.

“Kalau nak tahu saya susah nak luang waktu dengan Imran sekarang ini kerana saya pulang ke rumah pun jam lapan malam hampir setiap hari.
“Kalau nak ada anak sekarang ini, mental dan fizikal saya belum bersedia sepenuhnya. Lagipun saya nak luang waktu dengan suami terlebih dulu dalam tempoh setahun dua ini dan selepas itu ambil cuti kerja untuk fokus mendapatkan zuriat,” ujarnya.

Untuk rekod, pasangan itu selamat bernikah di Ayer Keroh, Melaka pada September yang lalu selepas setahun mengikat tali pertunangan.

Sumber: Harian Metro (Najiy Jefri), Instagram Imran Aqil & Dahlia Rizal 

Scroll to Top