Suami paksa kemas rumah selepas pulang kemoterapi

Suami paksa kemas rumah selepas pulang kemoterapi

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Diabai, diugut dan dipukul dalam keadaan lemah. Itu antara layanan buruk terima bekas pesakit kanser payudara mahu dikenali sebagai Marie, 30, apabila pernah diseksa teruk bekas suaminya.

Berkongsi kisah deritanya, Marie menyangka perangai suaminya yang panas baran akan berubah menjadi lebih baik selepas dia didiagnosis dengan penyakit kanser payudara.

Bagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku, apabila sikap suaminya dilihat menjadi semakin tidak terkawal.

“Pernah satu ketika, saya sedang menjalani rawatan kemoterapi, suami mempersoalkan mengapa rawatan dilakukan mengambil masa yang lama.

“Bukan itu sahaja, apabila pulang ke rumah (selepas jalani rawatan), dalam keadaan masih lemah, saya diminta untuk lakukan semua kerja rumah seperti mengemas rumah, uruskan anak dan memasak seperti biasa.

“Apabila saya meminta tolong, suami menyatakan (kanser) perkara kecil dan saya hanya mengada-ngada sakit,” katanya.

Menurutnya, selain itu, dia pernah dipukul sehingga mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota tubuh kerana gagal mengurus kerja rumah.

“Suami seorang yang baran. Jika ada yang rasa tidak kena, saya akan dipukul biarpun saya sedang sakit.

“Pada ketika itu, saya tidak berani membuat laporan polis kerana bimbang anak-anak akan dilarikannya,” katanya.

Oleh kerana sudah tidak tahan didera, Marie meminta suami menceraikannya namun diugut anak-anak akan dilarikan.

“Oleh kerana takut, saya melupakan hasrat itu selama beberapa tahun. Dalam tempoh itu saya cukup menderita sehinggalah saya nekad untuk bercerai.

“Akhirnya, suami setuju untuk bercerai. Mujurlah pada masa sama anak dibenarkan berada di bawah jagaan saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top