am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suami penyanyi veteran Singapura, Rahimah Rahim, iaitu Allahyarhan Juraimi Taib meninggal dunia pada usia 69 tahun di republik itu, Khamis lalu.
Berita sedih pemergian Juraimi atau Remy dikongsi penyanyi terkenal itu melalui hantaran Facebook (FB), kira-kira sejam lalu.
“Innalillahirojiun…Al Fatihah buat insan yang berhati mulia dan disayangi, suami saya, Juraimi Taib (Remy).
“Saya dan keluarga merasa teramat sedih atas pemergian arwah pulang ke Rahmatullah pada Khamis pagi, iaitu 15 Mei 2025.
“Kami sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih buat semua sahabat dan famili yang banyak membantu saya dalam mengendalikan jenazah arwah,” katanya.
Bagaimanapun, punca kematian Allahyarham Juraimi tidak dinyatakan.
Rahimah yang popular dengan lagu Gadis dan Bunga itu memohon kenalan arwah suami agar dapat memaafkan segala kekhilafan beliau.
“Kami juga mohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan. Sekiranya ada sesiapa mengenali arwah dan jika ada urusan yang masih tertunggak, iaitu belum sempat arwah lunaskan, silalah DM saya secara langsung.
“Semoga roh Allahyarham Juraimi ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan bertaqwa dalam rahmat Allah SWT,” katanya.
Rahimah berkahwin dengan Juraimi yang juga pegawai bank pada 1994. Mereka dikurniakan anak perempuan, iaitu Amalyn Aishah.
© New Straits Times Press (M) Bhd
