am@hmetro.com.my
Kuantan: Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja, Mas Rayyan Riqqin Abdullah yang dilaporkan hilang kelmarin, supaya tampil membuat laporan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu remaja itu berusia 33 tahun, malam tadi.
Katanya, berdasarkan laporan, ibu remaja yang bekerja sebagai pengasuh menyedari anak sulung daripada empat beradik itu tiada di rumah pada jam 8 pagi kelmarin.
“Pemeriksaan di bilik Mas Rayyan Riqqin menemukan sekeping nota ditinggalkan.
“Dalam nota itu, remaja itu menulis bahawa dia perlu membuat pilihan kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa, mencari wang sendiri, berdikari dan meminta maaf kepada ibu bapanya.
“Ibu remaja itu turut menghubungi rakan anaknya tetapi mereka tidak mengetahui di mana Mas Rayyan Riqqin sebelum membuat laporan di Balai Polis Beserah, malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kali terakhir remaja yang masih bersekolah itu dilihat ibunya pada jam 10.30 malam ketika sedang makan di rumah.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk melaporkannya ke balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd
