Sudah 12 juta rakyat daftar MyDigital ID

Sudah 12 juta rakyat daftar MyDigital ID

Kuala Lumpur: Sebanyak 12 juta rakyat Malaysia telah mendaftar MyDigital ID setakat 30 Jun, manakala 16 juta pendaftaran yang telah direkodkan melibatkan pembaharuan dan pembatalan identiti digital itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan terus memperluas penggunaan MyDigital ID sebagai mekanisme log masuk tunggal bagi perkhidmatan dalam talian kerajaan menerusi pelaksanaan strategi integrasi pada peringkat Persekutuan dan negeri.

Beliau berkata, arahan pelaksanaan log masuk tunggal menggunakan MyDigital ID dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara pada 14 Jan 2025 kepada semua kementerian, jabatan Persekutuan, badan berkanun, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sehingga 25 Jun 2026, sebanyak 114 perkhidmatan dalam talian kerajaan telah diintegrasikan dengan MyDigital ID antaranya MyJPJ, MyPTPTN, SPA9 dan MyBayar Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di portal Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berkaitan jumlah pendaftaran MyDigital ID sehingga 31 Mei 2026 serta langkah yang diambil kerajaan bagi memastikan semua platform dan sistem perkhidmatan kerajaan dalam talian boleh diakses menggunakan MyDigital ID.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata platform tersebut turut diintegrasikan dengan platform MyGOV Malaysia yang dibangunkan Jabatan Digital Negara (JDN), membolehkan pengguna mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan menerusi satu mekanisme pengesahan identiti digital.

Pada peringkat kerajaan negeri, beliau berkata setakat ini sebanyak 19 aplikasi dalam talian telah diintegrasikan dengan MyDigital ID manakala 28 lagi aplikasi masih dalam fasa pembangunan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top