am@hmetro.com.my
Kota Samarahan: Pembinaan kompleks Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Petrajaya dijangka dapat dimulakan secepat mungkin selepas isu tapak projek berjaya diselesaikan hasil persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pembinaan bangunan baharu IPK Sarawak itu diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, minggu lalu.
Beliau berkata, ia susulan persetujuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan cadangan Kerajaan Sarawak untuk menyediakan sebidang tanah bagi pembinaan kompleks berkenaan.
“Projek pembinaan kompleks IPK Sarawak baharu itu sebelum ini sudah mendapat kelulusan peruntukan kira-kira RM520 juta daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan tahun lalu.
“Alhamdulillah, kerajaan Sarawak menyediakan tapak berhampiran Stadium Sarawak bagi menempatkan kompleks IPK Sarawak yang baharu itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Samarahan dan KPD Padawan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Samarahan, di sini, tadi.
Pada majlis itu, Superintendan Barry William menyerahkan tugas KPD Samarahan kepada Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi yang sebelum ini memegang jawatan KPD Padawan.
Barry pula yang sebelum ini adalah pemangku KPD Samarahan bertukar ke IPD Padawan.
Mengulas lanjut, Mohamad Zainal berkata, ketika ini semua pihak sedang melengkapkan dokumentasi berkaitan sebelum proses pembinaan dapat dimulakan.
“Saya yakin pembinaan kompleks IPK Sarawak yang lebih moden dan kondusif itu akan dibina secepat mungkin agar dapat memantapkan lagi pengurusan serta pentadbiran polis Kontinjen Sarawak.
“Kalau ada perubahan dari segi bajet, ia mungkin disebabkan perubahan lokasi tanah yang diperuntukkan kepada kita, namun perkara itu akan ditentukan kemudian,” katanya.
IPK Sarawak sedia ada di Jalan Badruddin, di Satok, Kuching, dibina pada era pemerintahan Rajah Brooke sekitar 1930-an.
Kompleks bersejarah itu pada asalnya menempatkan ibu pejabat Sarawak Constabulary sebelum berfungsi sebagai pusat pentadbiran utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sarawak sehingga kini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




