am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kami sudah menghadiri kursus kahwin bulan ini, tapi belum ada tarikh untuk majlis pernikahan lagi,” kata pelakon Ahirine Ahirudin, 29.
Ahirine berkata demikian ketika diminta mengulas perancangan untuk berkahwin dengan kekasihnya, Hafidz Hamid, 33, yang juga pelumba basikal profesional.
Menurutnya, hubungannya dengan Hafidz yang berstatus duda kepada seorang anak lelaki itu sudah berlangsung selama setahun dan direstui keluarga kedua belah pihak.
“Saya sudah perkenalkan Hafidz kepada abah dan ahli keluarga lain ketika dia hadir beri sokongan pada saya ketika pertandingan sukan Muay Thai pada Februari lalu.
“Setakat ini, abah memang sudah beri lampu hijau kerana dia restu siapa pun pilihan anaknya,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya ciri-ciri yang ada pada Hafidz, kata pelakon filem Tebus itu, selain memiliki minat yang sama dalam aktiviti sukan berbasikal, dia juga lelaki yang matang dan penyayang.
“Saya dapat tahu isterinya meninggal dunia kerana penyakit kanser lebih setahun lalu dan dia yang besarkan anaknya selepas pemergian isterinya.
“Saya juga tertarik dengan cara dia melayan dan mendidik anak lelakinya yang berusia empat tahun berkenaan.
“Hafidz selalu bawa anaknya dalam aktiviti sukannya dan itu yang saya mahu lakukan bila ada anak nanti. Saya tidak kisah dengan status bapa tunggal kerana memang sukakan kanak-kanak,” katanya.
Bagaimanapun, kata Ahirine, dia memohon semua pihak untuk sama-sama mendoakan semoga hubungan mereka berpanjangan sehingga ke jenjang pelamin.
“Kami hanya mampu merancang dan selebihnya soal perkahwinan kami serahkan kepada ketentuan Tuhan.
“Saya mohon kepada semua peminat dan netizen untuk mendoakan yang baik-baik buat kami,” katanya.
Terdahulu, hubungan Ahirine dan Hafidz mencuri perhatian peminat kerana sering memuat naik gambar dan aktiviti sukan bersama di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




