Suhu global terus pecah rekod

Suhu global terus pecah rekod

ROME – Suhu bulan Jun 2023 melepasi rekod suhu sebelumnya bagi bulan Jun 2019 dengan margin lebih besar.

Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah berkata, suhu bulan lepas adalah 0.5 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata untuk bulan yang sama antara 1991 dan 2020.

“Peristiwa iklim yang dahulunya dilihat luar biasa kini berlaku lebih kerap.

“Trend ini menakutkan dan ada tanda-tanda ia akan berterusan,” kata ,” kata Mariagrazia Midulla, Ketua Bahagian Iklim dan Tenaga untuk World Wide Fund for Nature (WWF) di Itali, sebuah negara yang terpaksa melalui cuaca ekstrem sepanjang tahun lalu.

Beliau meramalkan lebih kerap berlakunya gelombang panas, kemarau dan banjir, serta peningkatan paras laut secara beransur-ansur, yang akan memberi kesan negatif kepada ekonomi dan masyarakat global.

Profesor Sains Iklim di Institut Grantham, Joeri Rogelj berkata, suhu tinggi tahun ini adalah disebabkan oleh gabungan faktor di luar peningkatan beransur-ansur dalam gas rumah hijau, termasuk kemunculan corak cuaca El Nino.

“Dengan El Nino yang menguatkan lagi kesan perubahan iklim dalam beberapa bulan akan datang, kami boleh menjangkakan dapat melihat lebih banyak suhu global melepasi rekod.

“Walaupun tanpa El Nino, trend suhu sangat membimbangkan,” ujarnya. – Agensi