New Delhi: Tindakan YouTuber wanita India gemar mempamerkan emas dan wang milik keluarganya di media sosial mengundang padah apabila rumahnya dipecah masuk sebelum barangan kemas dilarikan pencuri.
Agensi berita PTI melaporkan, pencipta kandungan dikenali sebagai Madhumitha itu sebelum ini kerap memuat naik video mengenai gaya hidupnya termasuk menunjukkan wang tunai dan barang kemas milik keluarga.
Malah, dalam satu video tular, wanita itu dilihat mencurahkan sejumlah wang kertas 500 rupee (RM21) ke atas anaknya yang masih kecil sambil bercerita mengenai kehidupan mewah keluarganya.
Dia turut memberitahu dalam video berkenaan dirinya membeli barang kemas setiap bulan.
Polis kini mengesyaki pencuri mungkin memantau aktiviti Madhumitha di media sosial sebelum melakukan pecah di rumahnya di Nagercoil, Tamil Nadu
dan kandungan yang dimuat naik berkemungkinan memberi gambaran mengenai kekayaan keluarga berkenaan.
Kejadian disedari selepas Madhumitha dan keluarganya pulang daripada perjalanan singkat ke Tirunelveli sebelum mendapati rumah mereka sudah dipecah masuk.
Pemeriksaan mendapati barang kemas seberat kira-kira 118 sovereign (944 gram) yang disimpan di dalam almari hilang.
Susulan laporan dibuat, polis membuka siasatan dengan pakar cap jari dan pasukan forensik dihantar ke kediaman berkenaan bagi mengumpul bukti.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar turut diperiksa manakala polis menganalisis jejak media sosial bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab.
Selepas kejadian itu, video lama Madhumitha termasuk rakaman mengenai tabiatnya membeli emas setiap bulan kembali tular di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




