Sukan SEA jadi medan terakhir skuad B-23

Sukan SEA jadi medan terakhir skuad B-23

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kegagalan skuad bawah 23 (B-23) negara kendalian Nafuzi Zain dalam dua kejohanan penting tahun ini harus menjadi ‘wake-up call’ buat pengurusan skuad bola sepak kebangsaan menjelang misi terakhir di saingan Sukan SEA di Thailand, Disember ini bagi menyelamatkan kalendar pasukan muda negara itu.

Selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada Piala AFF B-23 di Indonesia, Julai lalu, skuad negara sekali lagi gagal menyerlah apabila kecundang dalam Kelayakan Piala Asia B-23 minggu lalu.

Rentetan keputusan negatif itu, segelintir penyokong mula mempersoalkan hala tuju pasukan muda negara yang disifatkan berada pada tahap terendah berbanding beberapa pasukan lain rantau ini.

Jurulatih berpengalaman negara, Sulaiman Hussin berpandangan bahawa setiap pihak terutamanya pengurusan skuad kebangsaan serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) wajar memberi ruang dan masa secukupnya kepada Nafuzi serta anak buahnya untuk melakukan persiapan lebih rapi menjelang temasya dwitahunan itu.

Katanya, ia adalah medan terakhir bagi menebus maruah negara yang gagal dalam dua kejohanan sebelum ini.

“Dua kejohanan yang lalu boleh diperbaiki kerana skuad ini masih baharu dibentuk dan memerlukan lebih banyak pendedahan.

“Apa yang penting sekarang ialah FAM menyediakan perancangan yang lebih jelas supaya pemain dan jurulatih dapat menyiapkan pasukan dengan sebaik mungkin menjelang Sukan SEA,” katanya.

Tambah beliau, dengan baki masa tiga bulan lagi, peluang masih terbuka untuk memperkemaskan pasukan terutama dalam aspek kecergasan, taktikal serta kekuatan mental pemain muda.

“Jika diberi persiapan rapi, saya percaya skuad bimbingan Nafuzi mampu memberi saingan sengit di Bangkok nanti,” kata Sulaiman.

Untuk rekod, kali terakhir skuad bola sepak lelaki negara meraih pingat adalah pada temasya di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur apabila memenangi pingat perak.

Selepas itu, pasukan negara gagal membawa pulang sebarang kilauan pingat di temasya 2019 di Filipina dan 2023 di Kemboja apabila terkandas di peringkat kumpulan, sementara di saingan 2021 Vietnam menyaksikan skuad kebangsaan tewas dalam perebutan pingat gangsa di tangan Indonesia.

Kali terakhir Malaysia membawa pulang ibu segala pingat adalah pada di temasya 2011 yang berlangsung di Indonesia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top