Sukan SEA medan nilai prestasi ke Piala Thomas

Sukan SEA medan nilai prestasi ke Piala Thomas

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen menyifatkan Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini adalah medan terbaik untuk menilai tahap prestasi pemain negara.

Ia adalah ujian penting buat pemain khususnya perseorangan lelaki ketika sasaran lebih besar menanti mereka iaitu Piala Thomas 2026.

Kenneth berkata, pemain perlu belajar mengawal tekanan di Sukan SEA dalam suasana berpasukan dan individu.

Ia kerana negara seperti Thailand dan Indonesia dijangka menurunkan barisan terbaik, sekali gus menjadikan Sukan SEA medan perbandingan sebenar kekuatan skuad negara menjelang misi Piala Thomas di Horsens, Denmark, Mei tahun depan.

Beliau mahu memastikan barisan perseorangan lelaki mampu menyumbang mata penting untuk melengkapkan kekuatan skuad.

“Pemain kita jarang beraksi di peringkat suku akhir, separuh akhir atau final pada pentas dunia. Di Sukan SEA, mereka boleh alami tekanan sama seperti di Piala Thomas.

“Jadi, melalui suasana berpasukan di Sukan SEA, kita ada peluang meletakkan mereka dalam tekanan sama yang akan dirasai di Piala Thomas.

“Saya harap semua negara akan bawa pemain utama kerana hanya itu cara terbaik untuk kita mengukur tahap sebenar dan mencari jawapan bagaimana mahu melangkah lebih jauh ke Piala Thomas,” jelasnya.

Bagi Jonassen, misi itu sudah pun menjadi agenda utama sejak dia menyertai BAM, Januari lalu dengan fokus kepada memastikan perseorangan lelaki mampu menyumbang mata penting untuk melengkapkan kekuatan skuad.

“Selepas Sukan SEA, saya akan dapat jawapan lebih jelas untuk empat bulan terakhir sebelum ke Piala Thomas bagaimana perlu berlatih dan siapa benar-benar bersedia,” ujarnya.

Bulan lalu, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pelancaran semula program Road to Thomas Cup 2026 sebagai sebahagian pelan strategik Tangkis 2030.

Antara fokus utama pelan itu termasuk memburu emas pertama negara di Olimpik Los Angeles 2028 selain meletakkan sekurang-kurangnya tiga kategori berada di ranking nombor satu dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top