mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kehadiran sukarelawan wanita dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) wajar kerana mereka bakal menjadi penguat semangat kepada ibu dan anak kecil yang bergelut di Gaza, Palestin.
Pendakwah terkenal, Pencetus Ummah (PU) Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan yang menyertai misi itu berkata, wanita yang menyertai misi ini memainkan peranan unik dalam menyantuni ibu dan anak kecil yang menderita akibat perang.
“Hari ini perjuangan kami bukan tentang diri kami tetapi tentang anak-anak Gaza. Mereka kebuluran, 6,000 bayi kelaparan, 28,000 nyawa sudah syahid. Maka inilah perjuangan kita.
“Kalau ada orang bodoh di luar sana kata kenapa orang perempuan kena join (sertai misi), perempuan kena join sebab bila sampai di Gaza nanti merekalah yang akan memeluk, mengasihi ibu-ibu (dan) beri minum anak-anak Gaza,” katanya dalam video dikongsikan di Instagram, petang tadi.
Perkongsian PU Rahmat itu sekali gus menjawab pertikaian mengenai pembabitan sukarelawan wanita dalam misi GSF sehingga mencetuskan perbalahan di media sosial.
Mengulas lanjut, PU Rahmat berkata, misi berkenaan tentang penderitaan Gaza terutama anak kecil yang memerlukan susu.
“Anak-anak di Gaza menangis, teriak minta (susu) pada mak mereka sampai hilang suara tetapi ibu sendiri tak boleh beri sebab tak mampu hasilkan susu.
“Itu sebab kapal kami ini (asalnya) kapal tong ikan tetapi penuh dengan susu formula.
“Susu ini kalau sampai ke Gaza, itulah pertama sekali yang akan kami bancuh untuk anak-anak di sana. Sebab itu kami bawa orang perempuan, Ardel, Ilya Balqis, Lia Mariam dan Zizi Kirana,” katanya.
Dalam pada itu, PU Rahmat meletakkan harapan besar supaya bantuan kemanusiaan berjaya berlabuh seperti yang pernah berlaku pada 2008.
“Kalau sampai saja, kalau kita dapat masuk, berlabuh… mana tahu keajaiban pada 2008 (akan) berlaku kembali pada 2025.
“Kita nak selesaikan masalah kebuluran… kematian. Kita bawa susu formula,” katanya.
Dalam perkembangan lain, PU Rahmat turut berkongsi, kapal dinaikinya bersama kumpulan pertama GSF yang belayar dari pelabuhan Barcelona, Sepanyol, 1 September lalu akan berlabuh di Tunisia, hari ini.
Sementara itu, peserta wanita, Ilya Balqis turut kesal apabila penyertaan wanita dalam misi itu terus menjadi perdebatan sedangkan Gaza terus dibantai Israel sehingga ke saat ini.
“Di Malaysia kita masih sibuk berbalah tentang hukum wanita menyertai misi.
“Hakikatnya, kami berempat wanita sudah berada di atas kapal sejak lima hari lalu, berlayar untuk bertemu ibu dan kanak-kanak di Gaza. Cukuplah!
“Mufti WP (Wilayah Persekutuan) sudah keluarkan kenyataan. Lapangkan dada dan terima dengan hati terbuka. Moga Allah reda dengan misi ini,” katanya.
Selain PU Rahmat dan Ilya, kumpulan pertama delegasi Malaysia disertai Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM) Ahmad Musa Al-Nuwayri, penyanyi Zizi Kirana, pelakon Ardell Aryana dan ramai lagi aktivis.
Mereka akan bergabung dengan kumpulan yang ditempatkan di Catania, Itali dan Tunisia sebelum meneruskan misi ke destinasi akhir, Gaza.
Misi kemanusiaan GSF terbesar dalam sejarah dunia itu menyaksikan lebih 1,000 aktivis dari 44 negara mempertaruhkan nyawa merentasi Laut Mediterranean untuk memecah sekatan dikenakan Israel terhadap Gaza.
Kumpulan itu yang belayar dengan lebih 50 kapal flotila membawa bantuan kemanusiaan, ubat-ubatan dan makanan untuk rakyat Gaza yang disekat sejak perang 7 Oktober 2023 meletus.
© New Straits Times Press (M) Bhd




