Suku pertama pasaran saham positif

Suku pertama pasaran saham positif

Kuala Lumpur: Prospek yang lebih baik untuk Bursa Malaysia pada 2024 akan memupuk persekitaran lebih kondusif untuk tawaran awam permulaan (IPO) tahun ini terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan, Pengurus Portfolio UOB Kay Hian Wealth Advisors (UOB) berkata indeks barometer dijangka menunjukkan prestasi positif tahun ini, mengunjurkan indeks mencapai 1,605 mata.

Katanya, pasaran saham di Malaysia menunjukkan trajektori positif pada suku pertama 2024 dengan indeks FBM KLCI ditutup pada 1,536.07, meningkat 5.60 peratus, aliran menaik dikekalkan sepanjang suku tersebut dengan indeks mencapai kemuncaknya pada 1,558, disokong oleh ekonomi domestik berdaya tahan dan pelaksanaan dasar yang berkesan.

Faktor utama lain yang mendorong pertumbuhan itu termasuk penilaian yang menarik, hasil dividen tinggi dan penyusutan nilai ringgit, ia menarik pelaburan tambahan.

“Kaitan antara IPO dan indeks pasaran boleh menjadi rumit. Secara umumnya, indeks pasaran positif, menunjukkan keyakinan pelabur dan kesihatan ekonomi, boleh memupuk persekitaran yang kondusif untuk IPO,” katanya.

Beliau berkata memandangkan jangkaan pasaran terhadap penurunan kadar yang akan datang, trajektori menaik mungkin akan berterusan.

“Saham kecil dan pertengahan mungkin berfungsi sebagai penunjuk pertumbuhan atau nilai. Bagaimanapun harus diambil perhatian bahawa prestasi IPO dipengaruhi bukan sahaja oleh keadaan pasaran yang lebih luas tetapi juga oleh prospek syarikat individu dan faktor makroekonomi pada masa pelaksanaan IPO,” katanya.

Sedek berkata syarikat yang ingin melaksanakan IPO mesti bersedia untuk mengemudi pasaran dan potensi perubahan dalam penilaian, akhirnya prestasi selepas penyenaraian akan menjadi petunjuk kejayaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top