Kuala Terengganu: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya tabung Khairat Zainal Abidin dijenamakan semula bagi memastikan institusi-institusi pendidikan agama di Terengganu berkembang maju.
Baginda bertitah tabung yang ditubuhkan pada 1932 itu menjadi tunjang kepada perkembangan dan pembangunan Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA) Ladang, Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) Batu Buruk dan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang kini dikenali sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
“Permuafakatan antara pihak istana, pentadbir dan rakyat dalam menjayakan (tabung) Khairat Zainal Abidin perlu diperkasa dan diteruskan.
“Beta ingin mencadangkan supaya Khairat Zainal Abidin dijenamakan semula, menggabungkan instrumen endowmen, wakaf dan sedekah,” titah baginda ketika merasmikan Majlis Sambutan 100 Tahun Sekolah Arab Sultan Zainal Abidin dan Pelancaran Buku Permata Darul Iman sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Keputeraan Baginda, di sini, hari ini.
Turut berkenan berangkat ialah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan.
Sultan Mizan turut menitahkan agar semua institusi pendidikan di bawah nama Sultan Zainal Abidin III bekerjasama erat dan saling mendukung dalam menangani cabaran peradaban moden yang semakin tidak menentu.
© New Straits Times Press (M) Bhd