Sultan Selangor kongsi petikan tentang rasuah – “Tiada yang mampu jadi kaya melalui politik melainkan…”

Sultan Selangor kongsi petikan tentang rasuah – “Tiada yang mampu jadi kaya melalui politik melainkan…”

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memetik kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat ke-33, Harry S. Truman, yang menyentuh mengenai isu ahli politik mengumpul kekayaan ketika memegang kuasa.

Kongsi petikan tentang rasuah

Menerusi satu hantaran di Facebook Pejabat Diraja Selangor malam tadi, baginda dilihat tertarik dengan kata-kata yang mengaitkan hubungan antara politik, kuasa dan rasuah.

Antara petikan yang dikongsikan ialah: “No one can get rich in politics unless he’s a crook”, yang membawa maksud “Tiada sesiapa boleh menjadi kaya melalui politik melainkan dia seorang penyeleweng.”

Baginda turut memuat naik satu lagi petikan berbunyi: “If the wealthiest people in a society are its politicians, that society is fundamentally corrupt”, yang boleh diterjemahkan sebagai “Jika golongan paling kaya dalam sesebuah masyarakat terdiri daripada ahli politik, maka masyarakat itu pada asasnya telah rosak akibat rasuah.”

Walaupun Sultan Sharafuddin tidak menyebut mana-mana individu atau pihak tertentu, Pejabat Diraja Selangor memaklumkan bahawa perkongsian tersebut diharap dapat dijadikan sebagai bahan renungan kepada rakyat.

Hantaran tersebut turut diiringi lagu Apokalips nyanyian M. Nasir sebagai muzik latar.

Artikel lain: Titah Sultan Selangor bukan bermotif politik, tak campur urusan pentadbiran negeri

Terdahulu, Majlis Dewan Diraja Selangor tampil menyangkal dakwaan bahawa Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kepentingan politik ketika bertitah atau memberi nasihat kepada kerajaan negeri.

Baginda juga tidak mencampuri urusan pentadbiran negeri, sebaliknya bertindak selaras dengan peranan dalam sistem Raja Berperlembagaan termasuk memberi nasihat kepada kerajaan negeri.

Dalam kenyataan sama, majlis itu menegaskan bahawa menteri besar secara perlembagaan perlu merujuk kepada sultan dalam perkara berkaitan pentadbiran negeri serta kebajikan rakyat, agar baginda sentiasa mengetahui perkembangan semasa dan dapat memberikan pandangan berasaskan kepentingan rakyat, bukan faktor politik.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan dakwaan segelintir pihak politik yang mendakwa titah diraja Sultan Sharafuddin ketika pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor bulan lalu telah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri serta bertentangan dengan konsep raja berperlembagaan.

Sumber: Facebook Selangor Royal Office

Scroll to Top