Kuala Lumpur: Secara purata, pekerja bagi perkhidmatan makanan dan minuman menerima gaji dan upah sebanyak RM1,689 sebulan dengan purata bulanan tertinggi diterima oleh pekerja dalam perkhidmatan makanan (RM1,735), diikuti oleh perkhidmatan minuman (RM1,646) dan perkhidmatan katering (RM1,352).
Menurut Banci Ekonomi 2023 bagi Perkhidmatan Makanan dan Minuman (F&B) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan pertubuhan yang beroperasi pada tahun 2022 sebanyak 136,453 berbanding 167,490 pertubuhan pada 2015.
Perkhidmatan makanan mencatatkan bilangan pertubuhan tertinggi, iaitu sebanyak 107,129 pertubuhan dengan menyumbang sebanyak 78.5 peratus.
Ia diikuti perkhidmatan katering (16,208 pertubuhan) dan perkhidmatan minuman (13,116 pertubuhan.
Selangor mencatatkan nilai ditambah tertinggi sebanyak RM18.5 bilion, diikuti Kuala Lumpur (RM6.4 bilion) dan Johor (RM4.1 bilion).
“Sebanyak 136,453 pertubuhan F&B beroperasi pada 2022 dengan nilai output kasar RM99 bilion berbanding 167,490 pertubuhan pada 2015 yang mencatatkan nilai RM66.4 bilion.
“Perkhidmatan makanan merekodkan sumbangan nilai ditambah tertinggi iaitu 83.4 peratus (RM36.5 bilion) manakala perkhidmatan minuman dan perkhidmatan katering masing-masing menyumbang 9.5 peratus (RM4.2 bilion) dan 7.1 peratus (RM3.1 bilion),” katanya.
Menurut DOSM, bilangan pekerja pada 2022 berjumlah 1.07 juta berbanding 891,616 pekerja pada 2015.
“Perkhidmatan makanan merekodkan bilangan pekerja tertinggi iaitu 871,155 orang dengan sumbangan sebanyak 80.7 peratus, diikuti perkhidmatan katering (110,593 orang) dan perkhidmatan minuman (98,095 orang).
“Gaji dan upah dalam perkhidmatan F&B berjumlah RM15.5 bilion dengan perkhidmatan makanan menyumbang jumlah gaji dan upah tertinggi RM13 bilion,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd