Sumbangan Alvarez sangat besar – Guardiola

Sumbangan Alvarez sangat besar – Guardiola

Manchester: Pep Guardiola memuji impak yang ditinggalkan oleh Julian Alvarez dalam dua musim di Manchester City, dengan pemain Argentina itu dijangka menyertai Atletico Madrid dalam perjanjian yang bernilai sehingga €95 juta (RM465 juta).

Pemain berusia 24 tahun itu menelan kos hanya £14 juta (RM78 juta) ketika menyertai City dari River Plate dan sejak itu menikmati peningkatan prestasi, membantu Argentina meraih kejayaan di Piala Dunia dan Copa America, serta memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara di peringkat kelab.

Alvarez menjaringkan 36 gol dalam 103 penampilan untuk juara EPL itu, tetapi sering kali mendapati dirinya terpinggir dari barisan utama Guardiola oleh kehadiran penyerang Norway, Erling Haaland.

“Dia berada di sini selama dua tahun, kami memenangi segalanya bersama dan sumbangannya sangat besar,” kata Guardiola menjelang kembalinya pasukannya ke aksi Perisai Komuniti menentang Manchester United pada hari Sabtu.

“Dia mahu meninggalkan. Dia mahukan cabaran baharu. Atletico Madrid adalah kelab terbaik di Sepanyol… adalah kegembiraan untuk bekerja dengannya dan diharapkan dia dapat menemui apa yang dia cari.”

Masa depan Guardiola sendiri kekal sebagai sumber spekulasi apabila Catalan itu memasuki tahun terakhir kontraknya di Etihad.

Pemain berusia 53 tahun itu telah memenangi enam gelaran Liga Perdana, Liga Juara-Juara pertama City, serta empat Piala Liga dan dua Piala FA sepanjang lapan musimnya di Manchester.

Guardiola enggan mengulas sama ada beliau berminat untuk mengambil alih pasukan kebangsaan England pada akhir musim tetapi berkata merasa segar dan teruja kerana City berusaha untuk memenangi EPL untuk tahun kelima berturut-turut yang akan memecahkan rekod.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top