Sumbangan geng Covid-19 untuk anak yatim

Serdang: Kehilangan ahli keluarga akibat wabak Covid-19 merupakan detik yang paling sedih dan amat memilukan kerana tidak dapat menatap wajah dan memeluk mereka buat kali terakhir.

Terbaru, seorang pengguna Twitter bernama @KhairulFBI telah berkongsi satu video sedih memaparkan seorang kanak-kanak lelaki sedang menjalani kuarantin di pusat kuarantin Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Menerusi posting dimuat naik oleh pemuda itu, dia menyatakan budak lelaki tersebut telah kehilangan bapanya akibat virus Covid-19.

Rakaman video berdurasi satu minit itu juga memaparkan beberapa individu berganding bahu membuat sumbangan kilat untuk budak berkenaan agar sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya.

“Jadi kami ambil keputusan untuk buat sumbangan kilat buat adik ni. Alhamdulillah, dia terima sumbangan daripada geng Covid-19 MAEPS Serdang,” tulisnya dalam video tersebut.

Di samping itu, dapat dilihat juga kesemua mereka bekerjasama dan turut memberi sumbangan tanpa mengira agama dan bangsa.

Meskipun riak wajah yang ditunjukkan sangat sedih namun, budak tersebut kelihatan kuat menempuh dugaan yang melanda dirinya. Semoga yang terbaik buat adik ini.

Sumber: ohmymedia

Malay News
Social Media Updates

Scroll to Top