Sungai Gagu lebih keruh sejak 3 minggu lalu, ikan mati, apa puncanya?

Sungai Gagu lebih keruh sejak 3 minggu lalu, ikan mati, apa puncanya?

am@hmetro.com.my

Jelebu: Sejak tiga minggu lalu, keadaan air Sungai Gagu di Kampung Gagu, di sini, tiba-tiba menjadi lebih keruh berbanding biasa sehingga menimbulkan kerisauan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gagu Khairul Aznan Maaris berkata, hasil tinjauan mendapati, ada aliran air yang disyaki membawa lumpur dari arah bukit berhampiran melalui parit.

Katanya, aliran daripada parit itu kemudian masuk ke Sungai Gagu sehingga menyebabkan air bertukar menjadi keruh pekat berbanding biasa.

“Aliran dari Sungai Gagu itu kemudian masuk ke Sungai Triang dan kedua-dua sungai ini bertemu di Kampung Sungai Legum menyebabkan aliran Sungai Triang berubah warna,” katanya ditemui di Kampung Gagu, hari ini.

Khairul Aznan berkata, sebelum ini, dia mendapat aduan daripada penduduk yang menjala ikan di Sungai Gagu mendakwa banyak ikan mati dan diselaputi lumpur.

Katanya, kejadian ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan berharap pihak berkaitan dapat menyiasat apa sebenarnya yang berlaku.

“Penduduk khuatir sekiranya ada projek haram dijalankan pihak tertentu di lokasi lain.

“Kelmarin, pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan tinjauan sebaik masalah dilaporkan dalam kumpulan aplikasi WhatsApp JPKK dan Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu, namun belum diketahui punca sebenar kejadian.

“Pencemaran ini bukan memberi kesan kepada Sungai Gagu sahaja, malah turut membabitkan Sungai Triang sekali gus boleh memberi kesan kepada ekosistem sungai yang turut mempunyai pelbagai spesis ikan air tawar,” katanya.

Sementara itu, EXCO Kanan Kerajaan Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau memandang serius kejadian pencemaran yang berlaku dan sudah mengarahkan PDT Jelebu, JAS dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat sepenuhnya aduan penduduk.

Kata Jalaluddin, punca kejadian perlu dikenali-pasti dengan segera sama ada terdapat aktiviti pembalakan, pertanian, pembuangan sisa secara haram dan sebagainya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top