am@hmetro.com.my
Shah Alam: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), semalam, mengesahkan tiada pelepasan sisa berjadual industri ke dalam sumber air susulan kejadian air sungai berwarna merah jambu di Sungai Kabul, Beranang.
Span berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan dan pemantauan di lokasi berisiko yang dikenal pasti sekitar kawasan perindustrian berhampiran sungai utama.
“Tiada pelepasan sisa yang sekali gus menjadi penyumbang kepada insiden gangguan bekalan air.
“Pemain industri dan pengusaha dinasihatkan lebih peka serta memastikan tiada bahan terlarang yang boleh mengakibatkan pencemaran dilepaskan ke dalam sumber air mentah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, di sini.
Sementara itu, Span menegaskan penjenayah sumber air boleh disiasat di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda bagi kesalahan berkait pencemaran air.
Katanya, orang ramai diminta untuk memberi maklum balas kepada operator air dan pembetungan jika terdapat kegiatan mencurigakan yang disyaki berkaitan dengan jenayah mencemarkan bekalan air.
“Untuk aduan atau maklum balas berkenaan kes pencemaran, anda boleh menyalurkannya melalui aplikasi WhatsApp ke nombor 013-3885000 atau e-mel ke alamat aduan@span.gov.my,” katanya,
Selasa lalu, media melaporkan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengaktifkan Kod Kuning selepas mengesan aliran air berwarna merah jambu di Sungai Kabul, yang dianggarkan sepanjang 500 meter.
Perkara itu dikesan 6.40 petang dan kod diaktifkan mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan atau mitigasi segera.
© New Straits Times Press (M) Bhd
