DALAM hidup, kita mesti bersungguh-sungguh untuk berpegang dengan agama. Janji yang pertama kita dengan Allah adalah mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya. Oleh itu, kita kena menjaga akidah kita agar tidak rosak. Sebab iman boleh berkurang dan bertambah.
Iman ibarat bateri kereta, kalau casnya penuh akan terus menghidupkan enjin kereta. Contohnya kalau iman kuat, terus bangun mengambil wuduk apabila mendengar bunyi azan. Kalau iman lemah, ketika kalimah La ilaha illallah disebut, kita masih lagi berada di dalam kain selimut. Jadi, kita boleh menguji setara mana diri kita.
Iblis ingkar perintah Allah S.W.T
وَاِذْ قُلْنَا لِلْمَلٰۤىِٕكَةِ اسْجُدُوْا لِاٰدَمَ فَسَجَدُوْٓا اِلَّآ اِبْلِيْسَ اَبٰى
“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam!” Lalu mereka pun sujud kecuali Iblis; dia menolak. (116)”
Allah menceritakan dalam surah al-Baqarah mengenai kisah malaikat yang sujud kecuali iblis. Iblis berasal daripada jin bukan malaikat. Mengapa ia berada di langit? Allah memberi keistimewaan kepadanya.
Semua ini adalah perancangan Allah, jadi ia diberi peluang untuk berada di langit dan kisah sujud kepada Nabi Adam akan datang kemudian. Kalau ia tidak berada di langit, tiadalah kisah sujud kepada Nabi Adam dan tidak bermulalah permusuhan dan perbalahan antara manusia dengan iblis.
Ia diberi peluang untuk berada di langit kerana pada masa itu ibadahnya sangat kuat. Kadang-kadang, malaikat berasa hairan melihatnya. Ibadahnya lebih kuat daripada malaikat.
Malaikat memang tidak makan dan minum tetapi jin makan dan minum. Dalam Hadis, Nabi S.A.W menyebut bahawa makanan jin adalah tulang binatang [1]. Oleh sebab itu, dalam Islam dilarang untuk beristinjak dengan menggunakan tulang.
Iblis yang tidak sujud membuktikan bahawa ia bukan malaikat. Sebab malaikat tidak pandai melanggar perintah Allah. Inilah sifat semulajadinya. Ayat dalam surah al-Kahfi, ayat ke-50:
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ
Yang menjelaskan bahawa iblis adalah jin dan derhaka terhadap perintah Allah.
Iblis tidak mahu sujud kerana merasakan dirinya lebih hebat daripada Nabi Adam. Itu adalah sifat takabbur yang tercela. Pastikan tiada dalam diri kita. Allah murka dengannya. Allah sahaja yang berhak untuk bersifat takabbur. Dalam Hadis Qudsi, Allah berfirman:
الكبرياءُ رِدائِي ، فمَنْ نازعَنِي في رِدائِي قَصَمْتُهُ
“Sikap membesarkan diri ini ialah pakaian Aku. Siapa yang mengambil pakaian Aku, Aku akan binasakannya” [2].
Pakaian yang dimaksudkan ialah seperti rida’ yang selalu dipakai oleh Nabi S.A.W.
Buruk perangai iblis adalah disebabkan oleh kedegilannya. Dalam ayat lain, Allah bertanya:
قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ
“Apa yang menyekat kamu sujud bila Aku perintah?”
Ia menjawab:
قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ
“Aku ini lebih baik daripada Adam. Kamu ciptakan aku daripada api yang panas dan Kamu ciptakan Adam daripada tanah liat.” [3]
Oleh sebab itu, apabila jin masuk ke dalam tubuh manusia, kita akan menjadi gila atau mengalami histeria disebabkan oleh kepanasan daripada tenaga api. Tubuh kita tidak tahan dengannya sebab kita diciptakan daripada tanah liat. Sebab itu, iblis merasakan dirinya lebih hebat.
Tanah liat ini lembik tetapi apabila dibakar dengan darjah kepanasan yang tertentu, ia bertukar sifat dan jirimnya berubah daripada lembik kepada keras sehingga boleh membina bangunan yang bertingkat-tingkat. Ia adalah kesan daripada pembakaran. Nak kata api lebih hebat daripada tanah liat. Jadi, inilah hujah iblis.
Ia tidak ingat dan terfikir bahawa perintah sujud itu adalah perintah Allah. Tidak kira sama ada diciptakan daripada apa sekalipun. Apa yang paling penting dalam kisah ini adalah Allah yang suruh.
Sama juga seperti kita yang diperintahkan untuk menghormati dan berbakti kepada ibu dan bapa kita. Tidak berbangkit soal ibu dan bapa kita bodoh, tidak berpelajaran ataupun lemah. Kita kena hormat, jaga dan kasih kepada mereka kerana ia adalah perintah-Nya. Yang tidak peduli akan ibu dan bapa ini sebenarnya melanggar perintah-Nya.
Contoh lain apabila seorang isteri disuruh agar mentaati suami selagi tidak bercanggah dengan syarak. Nabi S.A.W pernah menyebut yang bermaksud: “Kalaulah aku boleh suruh manusia ini sujud, aku akan suruh wanita sujud kepada suami.” [4] Nak kata betapa mulianya kedudukan seorang suami. Apabila isteri patuh, hormat dan mendengar kata suami sebenarnya dia sedang patuh kepada perintah-Nya.
Dalam Hadis lain menyebut, isteri kena mendengar kata suami, kalau suaminya mahu bersetubuh, dia kena bersetuju walaupun dia sedang di dapur [5]. Maksudnya, bukan suruh buat begitu tetapi nak kata isteri itu kena mendengar kata suami. Ini yang diajar oleh agama mengenai kedudukan dalam rumahtangga antara suami dan isteri:
فَقُلْنَا يٰٓاٰدَمُ اِنَّ هٰذَا عَدُوٌّ لَّكَ وَلِزَوْجِكَ فَلَا يُخْرِجَنَّكُمَا مِنَ الْجَنَّةِ فَتَشْقٰى
“Kemudian Kami berfirman, “Wahai Adam! Sungguh ini (Iblis) musuh bagimu dan bagi istrimu, maka sekali-kali jangan sampai dia mengeluarkan kamu berdua dari syurga, nanti kamu celaka. (117)”
Allah telah berpesan kepada Nabi Adam, pesanan yang pertama adalah dilarang daripada makan buah khuldi dan yang keduanya adalah diingatkan bahawa iblis merupakan musuhnya. Seperti yang disebut dalam surah Yaasin, ayat ke-60:
أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَن لّا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Sama juga dengan orang kafir, mereka adalah musuh kepada orang Islam. Oleh sebab itu, kita tidak boleh ‘bagi muka’ kepada mereka kecuali mereka yang baik dan bertolak ansur dengan kita.
Sepatutnya kita tidak ‘bagi muka’ kepada Yahudi sebab telah jelas kejahatan dan kezaliman mereka terutamanya terhadap orang Islam di Palestin. Jadi, kita harus mencari cara untuk melawan mereka, paling kurang pun dengan berdoa agar Allah melaknat dan menghancurkan mereka.
Mungkin apa yang berlaku pada hari ini merupakan tanda-tanda keruntuhan Yahudi. Dalam satu tulisan yang ditulis oleh orang Yahudi sendiri, dinyatakan bahawa kerajaan Israel tidak akan dapat hidup melebihi seratus tahun. Sekarang sudah pun hampir seratus tahun.
Kesan daripada peperangan kali ini, ramai orang Yahudi takut dan keluar daripada negara mereka. Ekonomi mereka kini dalam keadaan tertekan dan terjejas dan mengalami kehabisan wang. Kereta kebal Merkava, kereta buatan Amerika yang diperbuat daripada besi yang tidak pecah adalah antara kereta kebal terbaik di dunia, harganya mencecah RM6 juta. Namun, ia berjaya dipecahkan oleh RPG dalam peperangan kali ini.
Berada di dalam syurga senang tetapi setelah keluar darinya akan susah. Ibarat tinggal di istana ada dayang tetapi setelah keluar darinya kena memasak sendiri.
Kenikmatan di dalam syurga
اِنَّ لَكَ اَلَّا تَجُوْعَ فِيْهَا وَلَا تَعْرٰى
“Sungguh, ada (jaminan) untukmu di sana, engkau tidak akan kelaparan dan tidak akan telanjang. (118)”
Semua cukup apabila berada di dalam syurga termasuk makan, pakaian dan keperluan lain. Tidak lapar, susah atau sejuk:
وَاَنَّكَ لَا تَظْمَؤُا فِيْهَا وَلَا تَضْحٰى
“Dan sungguh, di sana engkau tidak akan merasa dahaga dan tidak akan ditimpa panas matahari. (119)”
Tidak berasa dahaga dan panas apabila berada di dalam syurga. Tidak berasa panas kerana kata ulamak, tiada matahari. Syurga bukan dunia, jadi tiada matahari di dalam syurga dan selepas itu juga tiada kerana dunia akan musnah. Cuma ada bayang-bayang pokok di dalamnya.
Bisikan syaitan yang memperdaya manusia
فَوَسْوَسَ اِلَيْهِ الشَّيْطٰنُ قَالَ يٰٓاٰدَمُ هَلْ اَدُلُّكَ عَلٰى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَّا يَبْلٰى
“Kemudian syaitan membisikkan (fikiran jahat) kepadanya, dengan berkata, “Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon keabadian (khuldi) dan kerajaan yang tidak akan binasa?” (120)”
Iblis memutar belit cerita. Ia mencari kelemahan kita sebagai manusia. Kadang-kadang, kita ingin melakukan hal yang tidak elok, kemudian berasa “eh takpe, buat sekali ni ja lepas tu bertaubatlah”. Sebenarnya itu adalah bisikan syaitan. Contoh lain, ada yang menunaikan umrah setiap tahun untuk menyucikan dosa, berasa “eh takpe buat jahat nanti kita gi wak umrah”.
Kita sebenarnya sedang bermain-main dengan Allah S.W.T. Buat dosa, kemudian buat umrah dan begitulah seterusnya. Sepatutnya setelah berkali-kali menunaikan umrah, dosa kita pun semakin berkurangan:
فَاَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْاٰتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفٰنِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَّرَقِ الْجَنَّةِۚ وَعَصٰٓى اٰدَمُ رَبَّهٗ فَغَوٰى
“Lalu keduanya memakannya, lalu tampaklah kepada keduanya aurat mereka dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun (yang ada di) syurga, dan telah derhakalah Adam kepada Tuhannya, dan sesatlah dia. (121)”
Sebelum memakannya, Nabi Adam dan Hawa tidak berasa malu ibarat kanak-kanak. Sebab belum mengenal aurat. Setelah baligh, barulah timbul perasaan malu. Jadi setelah memakannya, barulah masing-masing berasa malu. Mereka berlari untuk mendapatkan pakaian. Daun-daun diambil dan dipakai untuk menutupi kemaluan. Di situlah timbulnya aurat.
Nabi Adam melakukan kesalahan iaitu melanggar perintah Allah. Kita mempercayai bahawa Nabi ialah maksum. Tetapi, mengapa Nabi Adam membuat kesalahan? Sesetengah ulamak berpandangan bahawa hal itu berlaku sebelum Baginda dilantik menjadi Nabi. Baginda menjadi Nabi setelah keluar ke dunia. Jadi, ada salah dan silap.
Namun sesetengah ulamak lain berpandangan bahawa kemaksuman Nabi adalah termasuk dalam hal-hal agama. Dalam bab agama, Nabi tidak akan membuat kesalahan misalnya dalam menyampaikan atau memberitahu yang haram menjadi halal. Cuma dalam bab sifatnya sebagai manusia, ada kesilapan.
Macam dalam kisah Nabi Adam, ini bukan isu agama tetapi isu Baginda dengan Allah. Melibatkan janjinya dengan Allah bukan mengenai penyampaiannya kepada manusia lain. Jadi, berlakulah kesalahan disebabkan oleh terlupa.
Nabi Muhammad S.A.W sendiri pernah ditegur oleh Allah mengenai kesilapan ijtihad atau keputusannya. Ia tidak melibatkan asas dalam agama misalnya soal akidah. Antara peristiwa di mana Allah menegurnya disebutkan dalam surah Abasa.
Nabi tengah berdakwah kepada pemimpin-pemimpin besar. Tiba-tiba, datang seseorang yang bernama Abdullah bin Ummi Maktum. Dia seorang yang buta. Ketika dia berjalan, dia terdengar suara Nabi bercerita bab agama. Dia berjalan sehingga menjumpai Nabi lalu memegang tangan Nabi. Dia memohon agar Nabi menceritakan kepadanya mengenai agama. Wajah Nabi berubah kerana berasa terganggu dengannya. Sehingga Nabi berpaling ke arah lain dan tidak melayannya.
Jadi, Allah menurunkan ayat [6]:
عَبَسَ وَتَوَلَّىٰ (1) أَن جَاءَهُ الْأَعْمَىٰ 2))
Allah menegur Nabi kerana bermasam muka dan berpaling daripada seorang yang buta. Itu kesilapan Nabi yang ditegur oleh Allah atas sifatnya sebagai manusia.
Setelah itu, kalau Nabi terjumpa dengan Abdullah, Baginda akan memuliakannya. Dalam satu riwayat disebut, Baginda selalu mengajar dalam keadaan duduk di atas kainnya dan jarang berdiri. Apabila Abdullah datang, Baginda berdiri dan pergi dekat untuk memimpin tangannya dan membawanya duduk dekat.
Sahabat bertanya sebab, jadi Nabi memberitahu bahawa Baginda pernah ditegur oleh Allah disebabkan oleh Abdullah [7]. Nabi menganggap Abdullah ini orang yang mulia dan menghormatinya sehingga Baginda wafat.
Kata ulamak, maksum adalah dari segi menyampaikan agama. Wahyu yang khusus daripada Allah, Nabi tidak akan lari dalam penyampaiannya:
ثُمَّ اجْتَبٰىهُ رَبُّهٗ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدٰى
“Kemudian Tuhannya memilih dia, maka Dia menerima taubatnya dan memberinya petunjuk. (122)”
Setelah Nabi Adam membuat kesilapan, Allah membimbingnya kepada taubat iaitu memohon keampunan. Baginda membaca doa yang berbunyi:
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Wahai Tuhan kami! Kami telah menzalimi diri kami. Kalau Engkau tidak ampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk dalam orang-orang yang zalim.” [8]
Allah menerima taubatnya dengan doanya tersebut dan menyesali kesilapannya. Namun, Allah tetap menghukumnya dengan menghantarnya ke dunia kerana ini adalah perancangan Allah. Memakan buah khuldi adalah sebahagian daripada perancangan untuk menghantarnya ke dunia.
Kisah perbalahan manusia bermula
قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًاۢ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۚفَاِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِّنِّيْ هُدًى ەۙ فَمَنِ اتَّبَعَ هُدٰيَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقٰى
“Dia (Allah) berfirman, “Turunlah kamu berdua dari syurga. Sebahagian-kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Jika datang kepadamu petunjuk dari-Ku, maka (ketahuilah) barang siapa mengikuti petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. (123)”
Bermula dari situ, Nabi Adam, Hawa dan iblis dihalau keluar dari syurga. Apabila turun ke dunia, berlaku pertembungan antara manusia dan iblis dalam sejarah. Anak-anak kembar Nabi Adam berbalah iaitu antara Qabil dan Habil. Pada masa itu, tiada lagi manusia lain. Jadi, cara nak mengembangkan zuriat adalah Allah menyuruh mereka berkahwin silang antara adik-beradik kembar.
Si abang tidak menyukai kalau adik perempuannya yang cantik dikahwinkan dengan adik lelakinya manakala dia mendapat adik perempuan yang hodoh. Perangai tidak menyukai antara adik-beradik sudah pun wujud sehingga berlakunya perbalahan. Nabi Adam meminta supaya anak-anaknya menurut perintah Allah.
Anaknya enggan lalu mereka diminta membuat korban dengan membawa binatang ternakan dan tanam-tanaman seperti sayur-sayuran dan buah-buahan untuk melihat korban siapa yang diterima oleh Allah. Seorang membawa yang elok manakala seorang lagi membawa yang buruk.
Tanda Allah menerima korban pada ketika itu adalah dengan turunnya api daripada langit. Api tersebut menyambar dan memakan korban yang elok sehingga licin. Jadi, korban yang elok diterima oleh Allah. Manakala korban yang buruk atau lebam yang tidak disambar oleh api menimbulkan rasa tidak puas hati. Dia mahu membunuh adiknya.
Di saat adiknya sedang tidur, si abang mengambil batu besar dan menghempas ke atas adiknya sehingga adiknya meninggal. Dia menjadi panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengan mayat adiknya.
Kemudian, Allah mengutuskan dua ekor burung gagak. Kedua-dua burung itu berlawan sehingga salah seekornya mati. Lalu, ia menguis tanah dengan kakinya untuk membuat lubang dan meletakkan burung yang mati itu ke dalamnya. Jadi, si abang memahami cara pengebumian melalui burung itu. Inilah sejarah perbalahan bermula dan berpanjangan sehingga ke hari ini.
Mengambil iktibar daripada sejarah kemusnahan
وَمَنْ اَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِيْ فَاِنَّ لَهٗ مَعِيْشَةً ضَنْكًا وَّنَحْشُرُهٗ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ اَعْمٰى
“Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sungguh, dia akan menjalani kehidupan yang sempit, dan Kami akan mengumpulkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta.” (124)”
Orang yang berpaling ialah yang menolak dan tidak menerima pakai peringatan Allah iaitu al-Quran. Bahkan orang beriman sendiri yang menolak al-Quran pun, kehidupannya akan menjadi sempit. Kehidupan yang sempit bukan bererti tidak memiliki harta.
Kadang-kadang, orang kaya hidupnya sempit. Sebab pemikirannya tertumpu kepada harta sahaja. Dia lebih serabut daripada kita. Dia duk fikir macam mana nak menyimpan harta kerana bimbang takut dirompak, dicuri, anak diculik atau bisnes jatuh. Kelihatan dia senang tetapi dadanya sempit. Kata ulamak, sempit kerana duk fikir hal dunia.
Ada orang yang kaya-raya boleh bercuti ke sana sini tetapi tidak pernah sampai ke Makkah. Bukan setakat haji, umrah pun tidak pergi. Dunia lebih dikenal, hubungan dengan Allah tidak rapat. Harta tidak habis makan. Ada pula yang kata, belum sampai seru. Jadi, apa yang kita dapat?
قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِيْٓ اَعْمٰى وَقَدْ كُنْتُ بَصِيْرًا
“Dia berkata, “Ya Tuhanku, mengapa Engkau kumpulkan aku dalam keadaan buta, padahal dahulu aku dapat melihat?” (125)”
Ketika di dunia, mata mereka celik dan dapat melihat dengan baik. Tetapi, mereka akan dibangkitkan dalam keadaan yang buta di akhirat:
قَالَ كَذٰلِكَ اَتَتْكَ اٰيٰتُنَا فَنَسِيْتَهَاۚ وَكَذٰلِكَ الْيَوْمَ تُنْسٰى
“Dia (Allah) berfirman, “Demikianlah, dahulu telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, dan kamu mengabaikannya, jadi begitu (pula) pada hari ini kamu diabaikan.” (126)”
Seolah-olah Allah membiarkan mereka dalam keadaan buta dan buat-buat lupa bahawa mereka pernah celik di dunia. Itulah cara Allah menghina mereka di akhirat kerana tidak mengendahkan ayat-ayat peringatan-Nya ketika di dunia:
وَكَذٰلِكَ نَجْزِيْ مَنْ اَسْرَفَ وَلَمْ يُؤْمِنْۢ بِاٰيٰتِ رَبِّهٖۗ وَلَعَذَابُ الْاٰخِرَةِ اَشَدُّ وَاَبْقٰى
“Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhannya. Sungguh, azab di akhirat itu lebih berat dan lebih kekal. (127)”
Allah membalas sedemikian kerana mereka berbuat kejahatan:
اَفَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ كَمْ اَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِّنَ الْقُرُوْنِ يَمْشُوْنَ فِيْ مَسٰكِنِهِمْۗ اِنَّ فِيْ ذٰلِكَ لَاٰيٰتٍ لِّاُولِى النُّهٰى
“Maka tidakkah menjadi petunjuk bagi mereka (orang-orang musyrik) berapa banyak (generasi) sebelum mereka yang telah Kami binasakan, padahal mereka melewati (bekas-bekas) tempat tinggal mereka (umat-umat itu)? Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal. (128)”
Allah bertanya, masihkah mereka tidak mahu beriman? Sedangkan orang-orang Arab yang berniaga sering ulang-alik di tempat yang pernah dibinasakan. Contohnya, Madain Soleh iaitu tempat kaum Nabi Soleh yang berdekatan dengan Tabuk. Ada bekas-bekas peninggalan bagaimana mereka dimusnahkan. Contoh lain ialah kaum ‘Ad.
Jadi, tanda-tanda kemusnahan ada di Tanah Arab. Di luar Tanah Arab pun boleh tengok kesan-kesan azab Allah terhadap kaum yang terdahulu. Adakah mereka tidak berfikir? Kita sendiri pun sepatutnya mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku seperti yang menimpa orang-orang yang melanggar perintah Allah, sombong dan berbuat dosa.
Kita boleh tengok apa yang terjadi terhadap Mustafa Kemal Ataturk. Dia mensekularkan Kerajaan Turki. Dia mengharamkan sembahyang, memerintahkan supaya azan dilaungkan dalam bahasa Turki, melarang orang menyimpan janggut, melarang perempuan memakai tudung dan al-Quran perlu ditulis dalam tulisan Turki.
Dia berasa hebat kerana mengira bahawa Turki sudah pun moden. Namun ketika dia meninggal, mayatnya tidak boleh ditanam. Di saat hujung nyawanya, dia menderita akibat kepanasan sehingga dia perlu dibawa ke atas bot merentasi sungai. Tidak hilang juga kepanasan sehingga dia meninggal. Mayatnya ditanam kemudian timbul semula kerana bumi tidak menerimanya.
Sangat berat dosanya terhadap orang Islam dan agama Islam. Sehingga dia digelar sebagai ‘Bapa Turki Moden’. Sama juga seperti yang menimpa Firaun. Kisah Firaun adalah kisah lama tetapi kisah Mustafa Kemal ini adalah kisah baru pada zaman kita. Kita dapat melihat Turki yang sekarang ini nak diperbetulkan supaya kembali semula kepada agama bukan mudah dan memakan masa yang lama. Jadi, Allah akan membalas dengan segera kejahatan yang dilakukan terhadap agama.
Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Yang di-Pertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar Diraja Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 27 November 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 1/12/2023
Rujukan:
[1]Berdasarkan hadis riwayat Imam Tirmizi (no.Hadis 18).
[2]Hadis riwayat Abu Daud (no.Hadis 4090) dan Ibnu Majah (no.Hadis 4174)
[3]Surah Al-A’araf, ayat ke-12 dan juga Surah Sad, ayat ke-76.
[4]Hadis riwayat Imam Abu Daud (no Hadis 2140)
[5]Hadis riwayat Imam Tirmizi (no.Hadis 1160).
[6]Surah Abasa, ayat 1-2.
[7] Tafsir al-Qurtubi (19/182).
[8]Doa ini daripada Surah al-A’araf, ayat ke-23.
The post Surah Taha: Prinsip, pendekatan dan cabaran dakwah (8) appeared first on Harakahdaily.




