Surah Taha: Prinsip, pendekatan dan cabaran dakwah (9)

Surah Taha: Prinsip, pendekatan dan cabaran dakwah (9)

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِنْ رَّبِّكَ لَكَانَ لِزَامًا وَّاَجَلٌ مُّسَمًّى

Advertisement

“Dan kalau tidak ada suatu ketetapan terdahulu dari Tuhanmu serta tidak ada batas yang telah ditentukan (ajal), pasti (seksaan itu) menimpa mereka. (129)”

Kalau tidak kerana janji Allah kepada Nabi S.A.W iaitu Allah tidak akan menyeksa umatnya semasa Baginda ada [1]. Bukan sepertimana yang berlaku terhadap umat-umat terdahulu seperti kaum Nabi Luth dan Nabi Soleh yang terus dihukum di depan mata Nabi-nabi mereka. Hukuman umat Nabi Muhammad S.A.W ditangguhkan sehingga ke hari kiamat. Ia adalah sebagai penghormatan kepadanya. 

Walaupun ada juga berlaku bencana alam di tempat-tempat yang tertentu seperti banjir, ribut taufan, puting beliung dan gempa bumi. Ia merupakan hukuman Allah terhadap manusia tetapi tidak berlaku kepada semua cuma di tempat-tempat yang tertentu sahaja. 

Untuk umat Nabi Muhammad S.A.W, pada hari kiamat nanti barulah hukuman yang sebenar akan dikenakan terhadap orang-orang yang tidak beriman dan menentang Nabi dan Rasul. 

Sabar dengan solat

فَاصْبِرْ عَلٰى مَا يَقُوْلُوْنَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوْعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوْبِهَا ۚوَمِنْ اٰنَاۤئِ الَّيْلِ فَسَبِّحْ وَاَطْرَافَ النَّهَارِ لَعَلَّكَ تَرْضٰى

“Maka sabarlah engkau (Muhammad) atas apa yang mereka katakan, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu, sebelum matahari terbit, dan sebelum terbenam; dan bertasbihlah (pula) pada waktu tengah malam dan di hujung siang hari, agar engkau merasa tenang. (130)”

Allah memberitahu kepada Nabi, walaupun Baginda berdepan dengan cabaran yang besar dan mereka tidak mendengar katanya dan melawannya, Baginda diminta untuk bersabar. Sebab hukuman bukan di tangan Nabi, serahkan sahaja kepada-Nya. 

Cara untuk bersabar adalah dengan menunaikan solat. Seperti yang dijelaskan dalam ayat ini, solat yang dimaksudkan adalah solat Subuh, kemudian diikuti dengan Zohor, Asar, Maghrib, dan Isyak. Jadi, lima waktu solat ini adalah waktu-waktu yang dipilih oleh Allah S.W.T. 

Mengapa dipilih waktu-waktu tersebut, hanya Allah yang mengetahui. Mengapa solat Subuh dua rakaat sedangkan kita susah nak bangun? Mengapa solat Zohor empat rakaat sedangkan kita sibuk berniaga atau bekerja? Mengapa solat Asar empat rakaat sedangkan kita kalut nak pulang dari tempat kerja ke rumah? 

Jadi, sebenarnya tidak penting untuk kita mengetahui mengenai hal tersebut. Yang penting adalah kita menunaikannya. Walau susah, kalut dan mengantuk macam mana sekalipun, tetap kena solat. Sebab solat merupakan tiang agama. 

Yang membezakan antara orang Islam dan bukan-Islam adalah solat. Kalau tidak solat, jadi kafir. Menurut Imam Ahmad bin Hanbal, kalau sengaja tidak mahu menunaikan solat, terus menjadi kafir. Sebab tiada tiang yang menjadi perkara utama bagi agama. 

Manakala menurut Imam Syafie, kalau tidak menunaikan solat atau malas menunaikannya akan menjadi fasik. Tetapi, kalau mempertikaikan hukum solat atau menganggap solat tidak wajib, maka akan menjadi kafir. Orang fasik tidak boleh menjadi saksi misalnya saksi nikah. 

Solat mempunyai banyak kebaikan rohani bahkan semua ibadah mempunyai nilai rohani yang kuat. Ia membina, membetulkan sikap, memberi kekuatan jiwa kepada kita dan sebagainya, terutamanya solat malam. Nabi Muhammad S.A.W diperintahkan oleh Allah untuk menunaikan solat malam  sebagaimana dalam Surah Al-Muzzammil, ayat 1-4:

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ (1) قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا (2) نِّصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا (3) أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا (4)

Perintah itu diturutinya sehingga tidur cuma sekejap dan tumit kakinya pecah kerana berdiri terlalu lama [2]. Solat malam ini membina kekuatan. Sayyidatina Aisyah R.A meriwayatkan satu Hadis: 

كُنْتُ أنَامُ بيْنَ يَدَيْ رَسولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ ورِجْلَايَ، في قِبْلَتِهِ فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي، فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ، فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَ

Bilik Baginda terlalu sempit sehingga Baginda memegang kaki Aisyah dan Aisyah pun melipatkan kakinya untuk memberi ruang kepada Baginda untuk sujud [3]. Sujud Baginda pula sangat lama, Baginda mencurahkan segala perasaannya kepada Allah S.W.T. Sebab cabarannya dalam dakwah sangat besar. Jadi, solat malam mendekatkan dirinya kepada Allah dan meningkatkan kekuatan rohaninya. 

Kalau nak tabah hati, ajarlah diri kita untuk bangun solat malam. Terutama apabila mempunyai banyak masalah yang sukar untuk diselesaikan, mengadulah kepada-Nya dengan harapan Allah menyelesaikannya. Bukannya semakin susah, semakin tidak solat atau semakin serabut, semakin tidak pergi ke masjid. 

Dalam satu Hadis [4]: 

كانَ النَّبيُّ صلَّى اللَّهُ عليْهِ وسلَّمَ إذا حزبَهُ أمرٌ صلَّى

Apabila Nabi S.A.W berdepan dengan suatu masalah besar, Baginda bersegera dalam menunaikan solat. Kadang-kadang, Baginda menyuruh Bilal untuk melaungkan azan dan kemudian Baginda menunaikan solat sunat. Kekuatan berada di situ. 

Perkara yang terakhir yang akan hilang dalam hidup manusia adalah solat. Jadi, kita mesti menjaga solat lima waktu. Buatlah dengan baik dan dalam waktunya. Cubalah solat seawal yang boleh. Waktu yang makruh untuk solat adalah waktu yang menghampiri dengan waktu solat yang lain. 

Jangan tamak dengan harta dunia

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ اِلٰى مَا مَتَّعْنَا بِهٖٓ اَزْوَاجًا مِّنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيٰوةِ الدُّنْيَا ەۙ لِنَفْتِنَهُمْ فِيْهِ ۗوَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَّاَبْقٰى

“Dan janganlah engkau tujukan pandangan matamu kepada kenikmatan yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka, (sebagai) bunga kehidupan dunia agar Kami uji mereka dengan (kesenangan) itu. Karunia Tuhanmu lebih baik dan lebih kekal. (131)”

Allah berpesan supaya kita tidak terpedaya dan terpesona dengan kesenangan dunia. Kita tengok orang bukan-Islam yang tidak solat, jahat dan menghina Islam, mereka kaya raya. Kesenangan yang mereka perolehi itu hanya setakat di dunia. 

Pada zaman Nabi SAW, isteri Baginda pernah meminta untuk kesenangan seperti orang lain. Baginda memberi pilihan. Kalau dia memang mahukan kesenangan itu, Baginda akan menceraikannya. Baginda memberinya pilihan antara harta dunia atau bersama dengan Baginda. Dia menolak harta dunia dan mahu bersama dengan Baginda, cuma perasaan mahukan kesenangan itu tetap ada walaupun dia ialah isteri Nabi [5].

Rasulullah S.A.W memohon agar rezeki dicukupkan, Baginda tidak meminta supaya menjadi kaya. Sedangkan kalau Baginda mahu, segala harta di dunia boleh dimilikinya. Ada yang bertanya mengenai bagaimana dengan harta rampasan peperangan. Baginda memperoleh satu per lima bahagian. Namun, Baginda membahagikannya kepada orang lain. 

Ada satu doa yang masyhur, Nabi S.A.W menyebut: 

اللَّهمَّ اجعل رِزقَ آلِ محمَّدٍ قوتًا

“Wahai Tuhan! Jadikanlah rezeki keluarga Muhammad ini cukup.” 

Menurut ulamak, Nabi S.A.W mengetahui bahawa harta dunia boleh menjadi fitnah kepada manusia. Doa yang dibacanya itu mengajar kita supaya tidak tamak dengan harta dunia. 

Kita tidak akan mampu mengejar dunia. Kata ulamak, dunia umpama bayang kita. Adakah kita mampu mengejar bayang kita? Tidak. Jadi, yang penting adalah biar Allah memberikan rezeki kepada kita mencukupi dengan keperluan. 

Harta menimbulkan banyak masalah. Bukan melarang untuk mencari harta sebab kalau tiada orang kaya, siapa yang akan mengeluarkan zakat, tetapi jangan melanggar hukum. Dalam satu riwayat, Nabi S.A.W ada menyebut bahawa orang kaya lewat masuk ke dalam syurga berbanding orang miskin selama 500 tahun [6]. Sebab harta ini akan disoal satu per satu di akhirat. 

Jika ditakdirkan menjadi kaya, gunakanlah dengan baik. Misalnya, Sayyidina Uthman merupakan orang kaya di Makkah. Orang Islam yang susah mengambil air di kebun tamar orang Yahudi. Suatu ketika orang Yahudi menghentikannya. Jadi, Uthman membeli sebuah kebun itu dan mewakafkan telaga air dan buah-buahan kepada orang Islam yang miskin. Sehingga ke hari ini kebun itu masih ada di Madinah, pahala berterusan setelah beliau meninggal. 

Semasa Nabi S.A.W ingin pergi berperang, sumbangan dipohon daripada orang yang turut serta dalam peperangan. Uthman memberikan seluruh hartanya untuk digunakan dalam peperangan. Sama juga contoh yang ditunjukkan oleh Abdul Rahman bin Auf dan Al-‘Abbas bin Abdul Mutalib. ‘Abbas merupakan bank kepada Nabi S.A.W. Apa sahaja yang Nabi inginkan akan meminta daripadanya. 

Cabaran besar di akhir zaman ialah Dajal. Dia membawa dunia. Sesetengah pandangan mengatakan bahawa itu merupakan simbolik. Ada riwayat mengatakan Dajal yang bermata satu itu bermaksud pandangannya sehala iaitu dunia semata-mata. Kalau hari ini disebut sebagai fahaman sekularisme sebab ia tiada kaitan dengan akhirat. Apa sahaja yang manusia inginkan, boleh belaka. Kalau kita mengikut ideologi Barat, maka kita akan punah ranah. 

Allah sebaik-baik tempat mengadu

وَأْمُرْ اَهْلَكَ بِالصَّلٰوةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَاۗ لَا نَسْـَٔلُكَ رِزْقًاۗ نَحْنُ نَرْزُقُكَۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوٰى

“Dan perintahkanlah keluargamu melaksanakan salat dan sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik di akhirat) adalah bagi orang yang bertakwa. (132)”

Allah memerintahkan supaya kita menyuruh keluarga kita untuk menunaikan solat. Dalam Hadis disebut, suruhlah anak solat ketika berusia tujuh tahun. Rotanlah anak kalau masih tidak solat ketika berusia sepuluh tahun [7]. Dengan solat, memang tidak menjadi kaya. Tetapi dengan solat, paling kurang jiwa kita menjadi tenang. 

Kita ada banyak masalah dalam hidup. Jadi, kita memerlukan tempat untuk mengadu, maka Allah sebaik-baik tempat mengadu. Melalui solat sebanyak lima kali sehari, itulah masa dan tempat untuk kita mengadu. 

Kalau raja, ada ‘timing’nya bukan setiap masa boleh kita berjumpa. Tetapi Allah tidak, mana ada raja sebaik-Nya kerana Dia merupakan raja bagi segala raja. Di akhirat, Allah mencabar dalam satu ayat [8]:

لِّمَنِ الْمُلْكُ الْيَوْمَ ۖ لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ

Jadi, kalau kita tidak memanfaatkan sebaiknya masa yang diberikan, amatlah rugi. 

Solat itu sifatnya doa. Selepas solat, kita juga digalakkan untuk berdoa. Paling kurang pun bacalah [9]:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Atau doa yang dibaca oleh Nabi Adam [10]:

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”

Jangan berharap bahawa Allah akan beri seperti yang kita minta. Namun, Dia akan beri mengikut apa yang sesuai dengan kemampuan kita. 

Kita diminta untuk bersabar dalam menunaikan solat. Sebab bukan mudah nak melaksanakannya. Allah mengingatkan kita bahawa solat yang kita lakukan bukan untuk bahagian-Nya tetapi Dia yang akan memberikan rezeki kepada kita. Rezeki ini berada di tangan-Nya. Jadi, kena rapat dengan-Nya umpama antara anak dan ayah. 

Kalau kita masuk dekat atau urut betis ayah, apa sahaja yang kita minta pasti akan diberinya, bahkan terus akan diberi tanpa diminta. Begitulah juga dengan Allah, kalau jauh dengan-Nya, sukarlah untuk Dia memberi rezeki kepada kita. 

Al-Quran mukjizat yang teragung

وَقَالُوْا لَوْلَا يَأْتِيْنَا بِاٰيَةٍ مِّنْ رَّبِّهٖۗ اَوَلَمْ تَأْتِهِمْ بَيِّنَةُ مَا فِى الصُّحُفِ الْاُولٰى

“Dan mereka berkata, “Mengapa dia tidak membawa tanda (bukti) kepada kami dari Tuhannya?” Bukankah telah datang kepada mereka bukti (yang nyata) sebagaimana yang tersebut di dalam kitab-kitab yang dahulu? (133)”

Orang kafir yang mementingkan kebendaan mahu supaya mukjizat Nabi S.A.W seperti mana tongkat Nabi Musa yang bertukar daripada ular atau unta Nabi Soleh yang keluar dari gua. Mereka tidak nampak bahawa al-Quran itu sendiri adalah mukjizat yang paling besar sebab pada ketika itu, orang mengagungkan sastera. 

Jadi, Allah menghadirkan mukjizat yang sesuai dengan zaman. Misalnya, pada zaman Nabi Musa, tersohor dengan ilmu sihir. Jadi, Allah memberi mukjizat yang boleh melawan sihir iaitu tongkatnya bertukar menjadi ular yang lebih besar dan memakan ular-ular lain. Pada zaman Nabi Isa pula, tersohor dengan ilmu perubatan. Allah memberi mukjizat kepadanya iaitu boleh menyembuhkan penyakit sopak dan kusta serta menghidupkan orang yang telah meninggal. 

Orang Arab pula tersohor dengan sastera seperti syair. Penyair diberikan kurniaan dan kedudukan yang hebat. Suatu ketika ada sayembara iaitu suatu pertandingan syair di Makkah. Syair yang menang yang digantung di Kaabah bukanlah sembarangan tetapi yang telah diakui oleh pakar. Contohnya, Al-Muallaqat As-Sab’u. 

Al-Quran yang lebih hebat mengatasi syair Arab yang ada pada ketika itu telah menyebabkan mereka berasa hairan dan takjub ketika mendengarnya. Namun, golongan materialisme menolak al-Quran sedangkan Allah kata al-Quran adalah melebihi segala-galanya. Bahasanya sedap, kandungannya boleh menceritakan kisah terdahulu seperti kisah Zulqarnain dan Ashabul Kahfi. Orang Arab sendiri tidak mengetahui kisah tersebut kerana mereka tidak belajar:

وَلَوْ اَنَّآ اَهْلَكْنٰهُمْ بِعَذَابٍ مِّنْ قَبْلِهٖ لَقَالُوْا رَبَّنَا لَوْلَآ اَرْسَلْتَ اِلَيْنَا رَسُوْلًا فَنَتَّبِعَ اٰيٰتِكَ مِنْ قَبْلِ اَنْ نَّذِلَّ وَنَخْزٰى

“Dan kalau mereka Kami binasakan dengan suatu seksaan sebelumnya (Al-Qur’an itu diturunkan), tentulah mereka berkata, “Ya Tuhan kami, mengapa tidak Engkau utus seorang Rasul kepada kami, sehingga kami mengikuti ayat-ayat-Mu sebelum kami menjadi hina dan rendah?” (134)”

Rasul diutuskan supaya ia tidak menjadi alasan di akhirat nanti. Kalau ditimpa bala tetapi Rasul tidak diutus, maka Allah pasti akan dipersalahkan. Jadi, kalau menerima azab di akhirat, itu bererti kita yang tidak menerima dan mempercayai utusan-Nya. Kita memang diberi peluang untuk berhujah, betapa adilnya Allah S.W.T. Semua anggota kecuali mulut akan bercakap dan menjadi bukti terhadap apa yang telah kita lakukan:

قُلْ كُلٌّ مُّتَرَبِّصٌ فَتَرَبَّصُوْاۚ فَسَتَعْلَمُوْنَ مَنْ اَصْحٰبُ الصِّرَاطِ السَّوِيِّ وَمَنِ اهْتَدٰى

“Katakanlah (Muhammad), “Masing-masing (kita) menanti, maka nantikanlah olehmu! Dan kelak kamu akan mengetahui, siapa yang menempuh jalan yang lurus, dan siapa yang telah mendapat petunjuk.” (135)

Allah berpesan kepada Nabi S.A.W, beritahu kepada orang-orang kafir yang degil dan asyik menjawab supaya tunggu sahaja masanya dan lihatlah sendiri nanti. Nasi pun sudah menjadi bubur. Tiada seorang pun yang terfikir akan perkara yang bakal terjadi di akhirat. 

Apa yang berlaku terhadap Palestin, Bosnia dan Myanmar pada hari ini, kalau kita belajar sejarah, kita akan dapat memahami mengapa ia berlaku begitu. Tetapi sayangnya, kita tidak membaca sejarah. Palestin berlaku sedemikian berpunca daripada penjualan tanah kepada orang Yahudi. Harga tinggi yang ditawarkan menyebabkan mereka tidak terfikir akan nasib keluarga. 

Begitu juga yang pernah berlaku di Bosnia suatu ketika dahulu, puncanya tidak peduli akan agama. Mereka tidak tahu mengenai solat, puasa dan tidak pandai membaca al-Quran. Kasihan nasib orang Islam di sana. Itulah puncanya sehingga diserang oleh Serbia. Begitulah kesan apabila kita tidak peduli akan agama dan politik. Oleh sebab itu, kita kena ada kesedaran politik yang tinggi dalam menjaga agama. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Yang di-Pertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar Diraja Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 4 Disember 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan.HARAKAHDAILY 8/12/2023

Rujukan:

[1]Berdasarkan ayat ke-33 daripada Surah Al-Anfaal.
[2]Hadis Sahih riwayat Imam Bukhari (no.hadis 4837).
[3]Hadis Sahih riwayat Imam Bukhari (no.hadis 369).
[4]Hadis Riwayat Imam Abu Daud (no.hadis 1319).
[5]Berdasarkan Surah Al-Ahzab, ayat ke-28.
[6]Hadis Riwayat Imam at-Tirmizi (no.hadis 2353).
[7]Hadis Riwayat Abu Daud (no.hadis 495).
[8]Surah Ghafir, ayat ke-16.
[9]Sebagaimana dalam Surah al-Baqarah, ayat ke-201.
[10]Sebagaimana dalam Surah al-A’araaf, ayat ke-23.