Buenos Aires: Presiden FIFA, Gianni Infantino mengundang persoalan apabila memuji “profesionalisme” Argentina dalam sepucuk surat kepada Persatuan Bolasepak Argentina (AFA), meskipun badan induk bola sepak dunia itu sedang menyiasat tingkah laku mereka selepas tewas kepada Sepanyol pada final Piala Dunia.
Walaupun surat tahniah selepas Piala Dunia adalah amalan biasa, dengan ketiga-tiga negara pemenang pingat menerima surat daripada Infantino, pemilihan kata-katanya kali ini menimbulkan tanda tanya.
Dalam surat yang mula-mula dibocorkan media Argentina sebelum disahkan oleh Daily Mail Sport, yang dihantar kepada Presiden AFA, Claudio Tapia, Infantino mengucapkan terima kasih atas sumbangan Argentina terhadap kejayaan Piala Dunia serta memuji profesionalisme pasukan itu.
“Tuan Presiden yang dihormati, semalam, Ahad, 19 Julai 2026, di Stadium New York New Jersey yang menakjubkan, Argentina memenangi pingat perak Piala Dunia FIFA 2026 selepas final yang mendebarkan menentang Sepanyol,” kata Infantino.
“Saya ingin sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas satu lagi pencapaian penting buat bola sepak Argentina.
“Piala Dunia FIFA 2026 akan terus dikenang sebagai sambutan bola sepak yang tidak dapat dilupakan, ditandai dengan perlawanan hebat, kemunculan bakat baharu, kehadiran beberapa bintang besar sukan ini serta suasana luar biasa di stadium yang dipenuhi penyokong.
“Persembahan cemerlang La Albiceleste turut menyumbang secara besar-besaran dalam menjadikan edisi kali ini sebagai acara luar biasa yang memikat jutaan peminat bola sepak di seluruh dunia.
“Sampaikan ucapan tahniah ikhlas saya kepada semua yang menyumbang kepada pencapaian hebat ini iaitu pemain, jurulatih Lionel Scaloni, barisan kejurulatihan dan perubatan serta sudah tentu penyokong yang sentiasa bersama dan memberi sokongan kepada pasukan sepanjang kejohanan.
“Kejayaan seperti ini sentiasa lahir daripada kerja keras yang berterusan, profesionalisme dan perhatian terhadap setiap perincian, selain semangat, komitmen dan kecintaan terhadap sukan yang indah ini. Semua ini menjanjikan masa depan yang sangat cerah dan sudah pasti akan membuka jalan kepada lebih banyak kejayaan besar buat bola sepak Argentina.
“Saya mengucapkan segala yang terbaik kepada anda, Tuan Presiden, bagi menghadapi pertandingan akan datang dan berharap dapat bertemu anda lagi dalam masa terdekat. Dengan penuh persahabatan, Gianni Infantino.”
Argentina, yang tewas dalam masa tambahan pada final, sering menimbulkan kekecewaan lawan sepanjang kejohanan menerusi corak permainan yang disifatkan sebagai negatif.
Juara 2022 itu gagal melakukan walaupun satu percubaan tepat ke gawang pada final dan selepas kekalahan, mereka membelakangi majlis ketika pemain Sepanyol menjulang trofi.
Leandro Paredes menyerang Eric Garcia dalam kekecohan selepas perlawanan yang turut dipercayai membabitkan Nahuel Molina, Thiago Almada dan penolong jurulatih Roberto Ayala, insiden yang kini sedang disiasat FIFA.
Final itu sendiri turut dipenuhi kontroversi apabila Lionel Messi didakwa cuba mempengaruhi pengadil Slavko Vincic supaya melayangkan kad merah kepada Marc Cucurella selepas pertahanan Sepanyol itu menutup mulutnya ketika bercakap dengan pengadil.
Argentina juga didakwa cuba menggunakan taktik sama terhadap Jude Bellingham ketika aksi separuh akhir menentang England.
Ketika kemenangan separuh akhir itu juga, Argentina dikritik kerana kerap melakukan aksi menjatuhkan badan dan melengah-lengahkan permainan dalam satu persembahan yang dianggap provokatif.
Mereka turut menerima bantahan daripada kenamaan Britain selepas meraikan kemenangan dengan sepanduk bertulis “Las Malvinas son Argentinas”, yang bermaksud “Kepulauan Falkland adalah milik Argentina”.
© New Straits Times Press (M) Bhd




