Tenaga hijau: Kediaman bertingkat perlu transformasi

Tenaga hijau: Kediaman bertingkat perlu transformasi

KESEDARAN terhadap kecekapan tenaga dalam pembangunan kediaman bertingkat di negara ini semakin meningkat apabila semakin banyak projek baharu mengadaptasi pensijilan hijau seperti Hartanah Hijau (GreenRE), Indeks Bangunan Hijau (GBI) serta prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai nilai tambah.

Bagaimanapun, pelaksanaannya masih belum menyeluruh kerana kebanyakan pembangunan masih memberi tumpuan kepada pematuhan minimum terhadap peraturan bangunan.

Aspek seperti orientasi bangunan, pengudaraan semula jadi, penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan prestasi tenaga sepanjang kitar hayat bangunan juga belum dioptimumkan sepenuhnya.

Pengarah VERITAS Architects Sdn. Bhd., Ar. Azril Amir Jaafar berkata, antara kelemahan utama yang dikenal pasti termasuk orientasi bangunan yang kurang sesuai dengan iklim tropika, bukaan tingkap yang terhad, kebergantungan tinggi terhadap penghawa dingin dan pencahayaan buatan serta penggunaan bahan binaan yang menyerap haba.

“Selain itu, kawasan bersama seperti lobi, koridor dan tempat letak kereta juga sering menggunakan tenaga secara berterusan tanpa sistem kawalan pintar yang cekap.

“Reka bentuk pasif merupakan langkah paling berkesan sebelum kita bergantung kepada teknologi.

“Pengudaraan silang, orientasi bangunan yang betul, teduhan daripada cahaya matahari terus serta pencahayaan semula jadi dapat mengurangkan keperluan penggunaan penghawa dingin dan lampu pada waktu siang.

“Dalam iklim Malaysia, pendekatan ini mampu mengurangkan penggunaan tenaga dengan ketara, di samping meningkatkan keselesaan penghuni,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pemasangan panel solar di bumbung bagi menjana tenaga elektrik juga perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada sumber tenaga daripada grid.

Katanya, cabaran terbesar adalah ruang bumbung yang terhad berbanding jumlah unit kediaman, selain isu kos permulaan, penyelenggaraan, pembahagian manfaat antara pemilik unit serta keperluan penyelarasan dengan pihak pengurusan bangunan dan utiliti.

“Oleh itu, penyelesaiannya bukan sekadar memasang panel solar, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan reka bentuk, teknologi dan model pengurusan yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk TPr Dr. Alias Rameli berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memandang serius isu reka bentuk pangsapuri di Malaysia yang masih belum bersedia menyokong penggunaan tenaga hijau, khususnya melibatkan bangunan yang telah lama dibina.

Menurutnya, bagi memastikan pembangunan pangsapuri baharu menerapkan elemen tenaga hijau, kementerian telah menyediakan beberapa garis panduan sebagai rujukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju.

“KPKT menerusi PLANMalaysia menyediakan pelbagai garis panduan perancangan bagi menggalakkan penerapan elemen tenaga hijau dalam pembangunan perumahan, terutama pangsapuri dan kediaman berbilang tingkat.

“Antaranya ialah Garis Panduan Perancangan Pembangunan Kejiranan Hijau yang diperkenalkan sejak 2007 bagi menggalakkan penggunaan tenaga secara cekap, bahan binaan kitar semula serta teknologi hijau dalam pembangunan.

“KPKT turut memperkenalkan Panduan Pelaksanaan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) bagi memastikan pembangunan perumahan berbilang tingkat menyediakan kemudahan mengumpul dan menggunakan semula air hujan.

“Pelaksanaan SPAH turut diperkukuh menerusi Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 yang mewajibkan pemasangan kemudahan tersebut bagi bangunan yang memenuhi syarat keluasan bumbung tertentu,” katanya.

Alias berkata, setiap projek pembangunan juga perlu mendapat kelulusan PBT yang melibatkan semakan pelbagai jabatan dan agensi melalui Jawatankuasa Pusat Setempat bagi memastikan semua garis panduan dan peraturan dipatuhi.

Katanya, antara aspek yang dinilai dalam proses kelulusan ialah penerapan elemen kecekapan tenaga dan tenaga hijau bagi mewujudkan persekitaran yang mampan, selesa serta sejahtera.

“Pemaju perlu mematuhi beberapa garis panduan perancangan termasuk Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Kejiranan Hijau, Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EV), Garis Panduan Perancangan Taman Atas Bumbung, Garis Panduan Perancangan Bandar Rendah Karbon dan Berdaya Tahan Perubahan Iklim, Panduan Pelaksanaan SPAH serta Garis Panduan Perancangan Ladang Solar,” katanya.

Beliau berkata, penerapan elemen tenaga hijau dalam pembangunan turut menyokong aspirasi negara mencapai pelepasan karbon bersih sifar menjelang 2050. – UTUSAN

Scroll to Top