Suri rumah cemas 'disergah' 4 perompak bertopeng

Suri rumah cemas 'disergah' 4 perompak bertopeng

am@hmetro.com.my

Pekan: Suri rumah bersama dua anak dan ibu mentua berdepan detik cemas apabila rumahnya dimasuki empat perompak bersenjatakan pisau di Felda Chini Timur 1, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, berdasarkan laporan, kejadian berlaku ketika suri rumah berusia 26 tahun itu sedang tidur bersama dua anak dan ibu mentuanya jam 11.50 malam.

Katanya, kejadian itu disedari selepas terdengar bunyi barang jatuh sebelum wanita itu keluar dari bilik untuk memeriksa.

“Mangsa terkejut apabila mendapati terdapat empat individu bertopeng dan berpakaian gelap berada di ruang tamu rumah.

“Terkejut dengan kejadian itu, mangsa menjerit dan seorang daripada suspek mengacukan pisau pada leher anak lelaki mangsa berusia empat tahun yang sedang tidur di ruang tamu.

“Mangsa diarahkan oleh suspek yang sama supaya diam manakala seorang lagi suspek menariknya ke arah anak mangsa serta memeluk mangsa.

“Sementara, dua lagi suspek menggeledah rumah dengan memasuki setiap bilik, selain mengambil dua telefon bimbit yang berada di ruang tamu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, ketika di ruang tamu, suspek mengambil seutas rantai leher dan gelang tangan milik ibu mentua mangsa secara paksa yang keseluruhannya bernilai RM12,000.

Menurutnya, ibu mentua dan anak mangsa diarahkan berkumpul di bilik tidur hadapan sebelum suspek beredar keluar melalui pintu dapur di bahagian belakang rumah.

Beliau berkata, mangsa dan tiga yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, ketika kejadian suami dan bapa mentua mangsa tiada di rumah.

“Siasatan awal mendapati mangsa memaklumkan suspek memakai pelitup muka warna hitam, bersarung tangan dan berpakaian serba hitam.

“Fizikal suspek tiga berbadan besar dan tegap manakala seorang lagi bertubuh kecil, berdasarkan percakapan mereka dipercayai warga asing,” katanya.

Menurutnya, polis kini sedang giat mengesan empat suspek terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top