am@hmetro.com.my
Kuantan: Dua individu, termasuk suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan bersama melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita pada 20 Mac lalu.
Tertuduh, Sri Farhana Nabila Mohd Kamal, 27, dan Mohd Fazlin Rahmat, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama melakukan rompakan berkumpulan, masing-masing seutas rantai leher dan gelang tangan milik wanita berusia 56 tahun dengan turut bersenjatakan sebilah pisau.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di FELDA Chini Timur 1, Pekan pada 11.50 malam, 20 Mac lalu, dengan kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 397 kanun sama, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Azizah Ahmad, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Azizah tidak menawarkan sebarang ikat jamin kerana tertuduh wanita mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan mereka diikat jamin dan menetapkan 25 Jun untuk sebutan semula kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd