bhnews@bh.com.my
PUTATAN: Seorang suri rumah di Kampung Pasir Putih, dekat sini, mengambil inisiatif membuka bank makanan mini di hadapan rumahnya bagi membantu golongan terjejas pendapatan akibat penularan COVID-19 mendapatkan barangan keperluan harian.
Zurainee Kula, 48, beliau menggunakan modal sendiri mewujudkan bank makanan sejak 13 Julau lalu tetapi tidak membukanya setiap hari selepas keadaan menjadi tidak terkawal apabila khemahnya diserbu orang yang ingin mendapatkan barang keperluan.
“Awalnya saya dan keluarga membuka khemah dan menetapkan hanya barang keperluan asas yang diperlukan saja boleh diambil.
“Bagaimanapun, situasi menjadi tidak dikawal apabila saya memuatnaik bank makanan mini ini di Facebook.
“Oleh itu, kami terpaksa mengubah konsep bantuan dengan memberikan bakul makanan dan individu memerlukannya perlu mengambil kupon bagi mengelakkan kekeliruan ketika penyerahan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ibu kepada tujuh cahaya mata itu berkata, dia sekeluarga pada mulanya hanya mampu menyediakan 20 bakul makanan namun semakin ramai ahli keluarga serta rakan terdekat turut sama menyalurkan sumbangan selepas mengetahui inisiatifnya.
Zurainee berkata, dia bersyukur dan tidak menyangka usahanya mampu menarik perhatian ramai pihak untuk turut serta membantu golongan memerlukan ketika ini.
“Kami mendapat kebenaran daripada Majlis Daerah Putatan untuk menyediakan bantuan ini dan syukur setakat ini semuanya berjalan lancar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




