Susah nak menang liga

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

London: Ole Gunnar Solskjaer bimbang dengan aksi hambar Manchester United selepas pasukan itu seri 0-0 menentang Crystal Palace di Selhurst Park hari ini.
Ini keputusan seri tanpa jaringan ketiga berturut-turut buat Red Devils, sekali gus menyempitkan peluang mereka memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Malah, aksi hambar itu hadir hanya empat hari sebelum mereka bertandang ke Etihad untuk berdepan City, Ahad ini.

“Sudah tentu saya bimbang. Apabila anda tidak dibolosi tiga kali berturut-turut, ia sepatutnya membantu anda memenangi perlawanan tetapi kami tiada kualiti.
“Kami perlu menyinar semula, kembalikan kualiti dan cuba memenangi perlawanan.

“Kami hilang tempo, kadangkala perkara begitu berlaku. Sudah tentu ini bukan malam terbaik kami.
“(Pengurus Palace) Roy Hodgson selalu membariskan pasukan yang sukar untuk ditentang dan hari ini mereka membuktikan sekali lagi,” katanya.

United mencatat enam keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi Liga Perdana musim ini, menyamai rekod 2004-05 dan 2016-17.
Solskjaer mengakui, mereka bukan saja sukar untuk mengejar City, malah kedudukan kedua juga tidak selamat apabila hanya satu mata mengatasi pasukan di tangga ketiga, Leicester City selepas 27 perlawanan. – AGENSI