am@hmetro.com.my
Seremban: Seorang lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penculikan remaja perempuan di Sendayan, di sini, 10 April lalu dan menuntut wang tebusan RM2 juta, ditahan petang semalam.
Suspek yang berusia 20-an ditahan di Klang, Selangor, jam 3.30 petang, dipercayai pemilik kenderaan yang digunakan ketika kejadian culik.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dengan penangkapan suspek lelaki ini, ia menjadikan jumlah yang ditahan seramai lapan individu.
“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menahan seorang lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kes culik remaja perempuan di Klang, kira-kira jam 3.30 petang semalam.
“Suspek berusia 20-an dan permohonan reman dibuat hari ini di Mahkamah Majistret, di sini, dengan Majistret Syed Farid Syed Ali membenarkan reman selama dua hari sehingga 19 April,” katanya dihubungi.
Ahmad Dzaffir berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal-pasti pembabitan suspek.
Harian Metro pada Isnin lalu melaporkan, seorang daripada suspek yang dipercayai terbabit dalam kes culik itu ditembak mati di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor, awal pagi Isnin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




