am@hmetro.com.my
Pasir Mas: Lelaki yang merempuh kenderaan Pasukan Gerakan Am (PGA) sehingga menyebabkan seorang anggota polis patah tangan ketika cuba melarikan diri semalam, direman selama empat hari.
Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga 28 Oktober itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Pasir Mas, Wan Abdullah Mohd Rodzlad.
Perintah dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Suspek yang berusia 35 tahun itu kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Difahamkan, pihak polis turut menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pembabitan suspek dalam rangkaian pengedaran dadah yang dipercayai aktif beroperasi di sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari semalam, suspek yang memandu kereta Toyota Camry bertindak nekad merempuh kenderaan pacuan empat roda milik PGA yang dinaiki empat anggota ketika dikejar di Jalan Pekan Lama, Rantau Panjang.
Akibat rempuhan kuat itu, seorang anggota berpangkat koperal berusia 41 tahun patah tangan kanan, manakala tiga lagi anggota tidaj cedera.
Suspek bagaimanapun berjaya ditahan selepas kenderaan yang dipandunya mengalami kerosakan dan tidak lagi dapat bergerak.
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, polis menemukan enam botol cecair ubat batuk berwarna gelap yang disyaki mengandungi kodeina.
© New Straits Times Press (M) Bhd




