Susulan video tular: 3 remaja ditahan, 3 motosikal disita

Susulan video tular: 3 remaja ditahan, 3 motosikal disita

am@hmetro.com.my

Kuala Lipis : Tiga remaja lelaki tempatan ditahan manakala tiga motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di sekitar bandar Kuala Lipis, semalam.

Tindakan itu diambil susulan penularan video berdurasi 22 saat di Facebook Komuniti Anak-anak Lipis pada 5 Mei lalu yang memaparkan beberapa penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya termasuk berlumba sesama sendiri dan mengangkat tayar hadapan (wheelie).

Ketua Polis Daerah Lipis, Ismail Man berkata, kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 4 Jalan Lipis-Felda Kechau berhampiran Hotel Star Well, Kuala Lipis.

Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan pada 10 Mei membabitkan dua pegawai dan enam anggota trafik IPD Lipis.

“Hasil operasi, polis berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 19 dan 20 tahun selain menyita tiga motosikal untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang lima tahun.

Ismail menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti menunggang atau memandu secara berbahaya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat kerana kegiatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang malah mengancam keselamatan, ketenteraman awam dan keselamatan jalan raya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top