Suu Kyi gesa rakyat Myanmar tolak rampasan kuasa tentera

Yangon: Pengerusi Parti Liga Demokrasi Kebangsaan Myanmar (NLD), Aung San Suu Kyi, semalam menggesa seluruh rakyat Myanmar menolak rampasan kuasa oleh pihak tentera dan membantah tindakan berkenaan.

Pihak tentera lewat malam tadi mengumumkan seramai 24 menteri dan timbalan menteri di bawah kepemimpinan Suu Kyi sudah dilucutkan jawatan.
Mereka kemudian menamakan 11 pengganti untuk menyandang jawatan bagi portfolio kewangan, kesihatan, penerangan, ehwal luar negara, pertahanan dan ehwal dalam negeri, lapor agensi berita CNA.
“Tindakan pihak tentera adalah perbuatan untuk meletakkan Myanmar di bawah kepimpinan seorang diktator,” menurut NLD dalam kenyataannya.

“Saya menggesa rakyat Myanmar supaya jangan menerima tindakan ini dan memberikan respons yang sewajarnya dengan menolak sekeras-kerasnya rampasan kuasa oleh pihak tentera ini,” kata Suu Kyi.

Kenyataan itu, yang dikeluarkan melalui laman Facebook Aung San Suu Kyi, turut menegaskan bahawa tindakan pihak tentera itu adalah satu tindakan yang tidak wajar dan bertentangan dengan perlembagaan dan kehendak pengundi.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan siapa yang memuat naik kenyataan itu kerana anggota NLD tidak menjawab sebarang panggilan telefon.

Seorang pemimpin kanan NLD menegaskan bahawa keputusan Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing untuk merampas kuasa ketika Myanmar sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 menunjukkan cita-cita peribadi dan bukan kepentingan negara dan rakyat Myanmar. – AGENSI

Malay News
International Desk