syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Ini rambut paling pendek yang saya pernah potong dan suami sangat suka,” kata pelakon, Sweet Qismina atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 27, yang kini tampil dengan imej baharu berambut pendek yang lebih segar dan moden.
Sweet yang juga isteri kepada pelakon, Adam Lee berkata, dia pada mulanya risau untuk menukar gaya rambut drastik kerana bimbang dikaitkan dengan imej ‘tomboy’ atau kelihatan seperti lelaki.
Namun, semuanya berubah selepas dia membuat keputusan untuk memotong rambut yang selama ini dibiarkan panjang.
“Empat bulan berambut panjang, saya rasa rimas sangat. Pada awalnya nak potong paras bahu saja, tapi ramai yang cadangkan potong pendek terus. Lagi pun, rambut boleh tumbuh semula.
“Rambut ini yang paling pendek saya pernah potong dan jujurnya, suami saya suka sangat. Itu yang buat saya bertambah yakin,” katanya.
Sweet yang popular menerusi drama Pink Smile berkata, selain pandangan orang terhadap imej wanita berambut pendek, dia juga pernah khuatir penampilan itu akan memberi kesan kepada tawaran lakonan.
“Saya risau juga kalau stesen TV atau produksi tak mahu pelakon heroin yang rambut pendek, takut tak nampak manis. Tapi bila bincang, semuanya okey saja.
“Saya pun teringin nak kekalkan imej rambut pendek ni sampai bila-bila. Tapi kalau rambut panjang semula pun, mungkin sampai paras bahu saja.
“Rambut pendek macam ni senang diuruskan, syampu pun lambat habis,” katanya.
Mengulas lanjut, Sweet turut menerima pelbagai reaksi termasuk komen negatif daripada netizen yang kurang senang melihat penampilannya sekarang.
“Ada yang kata saya nampak macam budak sekolah, ada juga cakap potongan ini tak sesuai dengan saya.
“Tapi bagi saya, ini sisi lain yang buat saya nampak lebih matang dan segar. Kita perlukan perubahan dari semasa ke semasa. Saya rasa macam dilahirkan semula,” katanya.
Katanya, apa yang lebih penting dalam penampilan adalah keyakinan dan keselesaan diri sendiri.
“Kadang-kadang kita bukan nak puaskan hati orang. Paling penting, emosi saya sendiri perlu dijaga. Saya perlu rasa gembira dan yakin dengan diri sendiri. Ini cara saya untuk cari benda baharu dalam diri,” katanya.
Terdahulu, Adam tampil mempertahankan penampilan terbaharu isterinya selepas ada netizen yang mempertikaikan gaya rambut pendek Sweet.
© New Straits Times Press (M) Bhd




