SYA BUAYA kena sita

Kota Belud: Ubah suai ekzos dan nombor pendaftaran dengan perkataan ‘SYA BUAYA’ antara kesalahan dikesan dalam operasi dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, semalam.

Dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar daerah itu selama empat hari, sebanyak 13 motosikal disita untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Belud dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah.

Katanya, sepanjang operasi itu, sebanyak 13 motosikal disita kerana ekzosnya diubahsuai selain beberapa kesalahan lain.

“Selain itu, ada juga motosikal yang dirampas selepas dipercayai terbabit dalam kes curi pada 2012.

“Dalam operasi ini, polis turut mengeluarkan sebanyak 23 saman trafik,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pemilik yang mahu menuntut semula motosikal yang disita disyaratkan supaya memasang semula ekzos asal terlebih dulu.

“Kita tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik yang mengubahsuai ekzos motosikal mereka sehingga mengeluarkan bunyi bising.

“Saya juga menyeru kepada masyarakat di Kota Belud supaya terus memberi kerjasama dengan pihak polis bagi membendung gejala tidak sihat ini terutama golongan belia,” katanya.

Scroll to Top