Syabas wira negara! PM Anwar ucap tahniah, Malaysia juara Piala Dunia Sepak Takraw 2026

Syabas wira negara! PM Anwar ucap tahniah, Malaysia juara Piala Dunia Sepak Takraw 2026

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan syabas kepada skuad sepak takraw negara selepas muncul juara acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026, sekali gus menewaskan musuh tradisi, Thailand dalam aksi penuh dramatik di Stadium Titiwangsa, malam tadi.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau menyifatkan kejayaan itu bukan sahaja membanggakan arena sukan tanah air, malah membuktikan semangat juang, disiplin dan kesatuan pasukan mampu mengangkat Malaysia ke persada dunia.

“Kemenangan ini adalah hadiah bermakna buat seluruh rakyat Malaysia serta bukti bahawa anak watan memiliki keupayaan, ketahanan dan semangat luar biasa apabila membawa cabaran negara,” katanya.

Kredit Foto: Izzuddin Abd Radzak| Pejabat Perdana Menteri

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan serta menggesa skuad negara untuk terus mengekalkan momentum kecemerlangan demi Malaysia tercinta.

Malaysia sebelum itu menjuarai perlawanan akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas menewaskan Thailand 2-1 dalam aksi yang berlangsung penuh debaran.

Skuad negara membuka langkah kanan apabila regu pertama menghadiahkan mata selepas mencatat kemenangan 15-9, 13-15, 15-12 sebelum Thailand kembali menyamakan kedudukan dengan kemenangan 6-15, 10-15 pada regu kedua.

Kredit Foto: BERNAMA

Artikel lain: PM Anwar peruntuk RM2 juta! Mahu sepak takraw diperluas & dimartabat sebagai sukan warisan

Bagaimanapun, perlawanan kemuncak regu penentuan dicemari insiden kontroversi apabila Thailand bertindak meninggalkan gelanggang ketika aksi sedang berlangsung, dipercayai tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, Mohd Radhi Che Mei dari Singapura.

Situasi tegang itu tercetus ketika Malaysia diberikan mata selepas pengadil mendapati berlaku kesalahan apabila pemain Thailand melakukan libasan dengan kaki melepasi garisan gelanggang, sekali gus mengikat kedudukan 14-14 ketika Thailand sebelum itu mendahului 14-13.

Perlawanan kemudian tertangguh hampir 30 minit sebelum pengadil mengesahkan kemenangan berpihak kepada Malaysia selepas Thailand kekal dengan keputusan untuk tidak kembali ke gelanggang.

Kejayaan tersebut menyaksikan Malaysia sekali lagi membuktikan kemampuan menyaingi dominasi Thailand dalam arena sepak takraw dunia, selain mencetuskan detik bersejarah dalam kejohanan edisi kali ini.

Sumber: FB Anwar Ibrahim

Scroll to Top