am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peluang pekerjaan menjadi ‘GPS’ utama warga asing dalam menentukan lokasi untuk tinggal di Malaysia, dengan kawasan yang menawarkan pekerjaan, sewa berpatutan dan kemudahan pengangkutan menjadi antara tumpuan mereka.
Ketua Pusat Penyelidikan Populasi dan Migrasi Malaysia Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mashitah Hamidi berkata, peluang pekerjaan adalah penentu paling dominan dalam pemilihan lokasi penempatan warga asing.
Menurutnya, migrasi buruh ke Malaysia digerakkan permintaan majikan melalui sistem kuota dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), menyebabkan peta penempatan pekerja asing hampir selari dengan peta pelaburan dan projek.
“Antara kawasan tumpuan warga asing di Malaysia ketika ini ialah di Lembah Klang, khususnya Jalan Silang, Kota Raya, Chow Kit, Masjid India dan Pudu di Kuala Lumpur. Selayang dan Batu Caves pula banyak dihuni komuniti Myanmar dan Rohingya, manakala Klang, Shah Alam, Rawang dan Semenyih menjadi tumpuan berhampiran kawasan perindustrian.
“Di Johor, kawasan tumpuan termasuk Pasir Gudang, Kulai, Senai, Pengerang dan Johor Bahru, manakala di Pulau Pinang pula Seberang Perai dan Bayan Lepas yang mempunyai banyak aktiviti industri elektrik dan elektronik.
“Di Sabah, komuniti Filipina dan Indonesia banyak terdapat di Sandakan, Tawau, Lahad Datu serta penempatan atas air di Kota Kinabalu, manakala Cameron Highlands menjadi tumpuan pekerja pertanian,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, faktor sewa rumah, kos sara hidup dan akses kepada pengangkutan turut mempengaruhi pemilihan sesuatu kawasan, terutama apabila baki pendapatan pekerja asing selepas potongan dan kiriman wang ke kampung biasanya kecil.
“Kawasan dengan bangunan lama, flat kos rendah dan kedai makan murah menjadi pilihan. Akses pengangkutan awam penting kerana kebanyakan mereka tidak memiliki kenderaan, sebab itulah kawasan berhampiran Pasar Seni, Kota Raya dan Chow Kit menjadi tumpuan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mashitah berkata, pekerja asing turut cenderung berkongsi rumah bagi memaksimumkan simpanan, dengan sekurang-kurangnya lapan hingga 15 orang tinggal dalam satu unit flat atau rumah kedai yang dipecah bilik.
Katanya, kewujudan komuniti senegara pula menjadi faktor besar yang mempengaruhi keputusan warga asing untuk menetap di sesuatu kawasan menerusi fenomena migrasi berantai.
Menurutnya, keadaan itu menjelaskan mengapa sesetengah kawasan dikenali mengikut identiti komuniti tertentu, termasuk komuniti Nepal di sekitar Kota Raya, komuniti Bangladesh di Jalan Silang dan komuniti Myanmar di Selayang.
“Pengaruhnya sangat besar melalui migrasi berantai (chain migration). Individu pertama yang berjaya bekerja akan membawa masuk saudara, jiran atau rakan sekampung ke kawasan yang sama. Komuniti sedia ada menyediakan pakej permulaan seperti tempat tidur, kenalan majikan, panduan dokumen dan jaringan kiriman wang,” katanya.
Dalam pada itu, Mashitah berkata, jurang upah menjadi antara faktor utama warga asing memilih Malaysia sebagai destinasi bekerja, menetap atau mencari peluang ekonomi.
“Faktor utama ialah jurang upah. Gaji minimum Malaysia, RM1,700 sejak Februari 2025, jauh lebih tinggi berbanding pendapatan di Bangladesh, Nepal atau Myanmar. Faktor kedua adalah permintaan struktur ekonomi kita sendiri.
“Sektor pembinaan, perkilangan, perladangan dan perkhidmatan sudah lama bergantung kepada buruh asing untuk pekerjaan 3D (kotor, bahaya, sukar) yang kurang diminati rakyat tempatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




