mohamadridzuan@hmetro.com.my
PENUH kesabaran dan kadangkala lelah menunggu sehingga mencecah satu dekad. Semua perasaan yang bersarang di jiwa Syamel bagaimanapun automatik hilang apabila album sulungnya berjudul Pertama kini menemui peminat.
Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 32, kini sudah mampu tersenyum lebar kerana kelahiran album ini bermakna lengkap sudah profilnya sebagai artis rakaman.
“10 tahun itu satu perjalanan yang bagi saya sangat panjang. Saya lihat rakan-rakan artis lain pun dah keluar album. Sebenarnya keinginan untuk ada album bukan pada saya seorang saja.
“Setiap penyanyi, album itu ibarat macam sijil. Seorang penyanyi mesti nak ada album. Tapi, ia bermain dengan rezeki juga. Jadi, saya dah bekerjasama dengan beberapa label.
“Dan ketika itu tak ada keinginan dan juga energi yang disalurkan daripada saya mahupun daripada label, tidak menjurus ke situ. Kita banyak bermain dengan single. Keluar single demi single,” katanya.
Menurutnya, sehingga ditawarkan masuk ke Universal Music Malaysia dan mereka bercakap berkenaan album.
“Ini ‘first time’ saya dengar mereka cakap Syamel, kamu bukan Syamel Ernie. Kamu adalah Syamel. Ia buat saya duduk dan mengelamun sekejap sebab saya selalu berduet dengan Ernie kan.
“Dan peminat pun sentiasa melekatkan dalam fikiran mereka, ‘Syamel bila nak keluar lagu dengan Ernie?’ Tapi, bila soalan itu diajukan kepada saya daripada Universal Music, saya rasa macam, Eh, aku pun nak kena ada ‘my solo career yang very solid’ (kerjaya yang kukuh).
“Dan itu ketikanya apabila energi daripada Universal Music pun diberikan kepada saya, saya pun macam tiba-tiba semangat, ‘Okay, let’s do this album’ (jom terbitkan album ini).
“Sebab dalam kepala dah ada daripada tahun lalu, tapi tak ada saluran yang. sepatutnya yang lancar untuk saya salurkan. Jadi, itu kisah adanya album pertama ini hasil daripada kerjasama Universal Music dan saya,” katanya.
Baginya untuk melengkapkan sesebuah album, ia perlu tampil dengan lagu yang sesuai dan boleh diterima peminat.
“Jadi, saya bekerja dengan ramai komposer hebat untuk melengkapkan album ini antaranya Edry Abdul Halim. Kita ada wajah baru juga untuk lagu Tunjukkan Ku Bahagia bekerja dengan Adam dan Yusuf.
“Dan rezeki datang ‘podcast’ dapat lagu bersama dengan Aizat Amdan untuk lagu Aku Bukan Dia dan Megl Ramlan dan Cukup Sekali sepenuhnya dibuat oleh saya,” katanya.
Syamel berkata, dia memilih genre balada dan hanya menyelitkan dua lagu rancak kerana mahu mengetengahkan identiti sebenar dirinya.
“Itu konsep yang paling dekat dengan jiwa saya iaitu lagu yang sedemikian rupa. Jadi, album pertama saya memperkenalkan ini Syamel kepada semua peminat.
“Insya-Allah kalau ada rezeki untuk pergi ke album kedua, ketiga, kami akan sentiasa bermain dengan konsep berbeza pula.
“Dalam album ini, saya juga merakam vokal untuk lagu beribu Tanda Tanya di Manchester, United Kingdom kerana lagu ini ciptaan Edry dan dia tinggal di sana.
“Saya lengkapkan lagu Beribu Tanda Tanya dekat sana. Saya pergi ke sana rekod vokal, sebab masa itu saya nak kena keluarkan single Beribu Tanda Tanya.
“Walhal Beribu Tanda Tanya adalah sebahagian daripada idea album. Tapi, disebabkan ada sedikit masa. Kita kena keluarkan juga single ketika itu, saya pilih untuk keluarkan lagu Beribu Tanda Tanya.
“Jadi, saya kena pergi ke sana, rekod Beribu Tanda Tanya. Lepas itu rekod vokal dekat sana semua, kemudian saya balik. Bila saya balik, Edry daripada sana akan uruskan pemuzik untuk main dekat sini.
“Malah lagu Dalam Kenangan pun saya rekod dekat sana. Tapi, datang sini balik ‘re-record’ (rakam semula) balik. Re-record balik dua-dua lagu tu. ‘So, such a lovely’ (sungguh indah), penat tapi berbaloi pengalaman itu,” katanya.
Syamel turut membuka cerita, judul album ini dicetuskan oleh Edry sendiri ketika mereka berbual-bual.
“Masa saya dekat Manchester, kami dah rekod semua lagu dan kemudian kami jalan-jalan. Dari situ Edry sarankan memandangkan ini album pertama saya, letak saja nama album ‘Pertama’.
“Katanya, ‘Pertama’ ‘is the most meaningful’ (sangat bererti) punya nama album sebab tak ada lagi orang letakkan ‘Pertama’. So, and this is my first album (ini album pertama saya). So itu dia, Edry yang bagi nama itu.
“Saya juga berterima kasih kepada isteri saya, Ernie yang tak pernah putus-putus bagi sokongan. Tak sampai setahun lagi bersama dengan Universal Music, tapi saya dah ada album.
“Alhamdulillah… satu perkara yang positif. Sudah tentu Ernie pun sangat-sangat ‘happy’ (gembira) sebab Ernie dah pernah keluarkan album ‘first’ (sulung). Dan dia pun ada pengalaman keluarkan album.
“Jadi, banyak juga yang Syamel tanya dia, banyak juga yang Syamel tanya daripada cikgu Edry,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




