PUCHONG: Projek pembangunan berstatus kediaman sepenuhnya, Xanadu Millennium menerima sambutan menggalakkan apabila kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan 1,245 unit berjaya dijual setakat majlis pelancaran rasminya.
Projek bernilai pembangunan kasar (GDV) RM700 juta itu dibangunkan oleh Palm Springs Development Sdn. Bhd. dengan Gplex Realty Sdn. Bhd. yang dilantik sebagai ejen pemasaran eksklusif bagi mengendalikan jualan dan pemasaran keseluruhan pembangunan tersebut.
Pengarah Urusan Gplex Realty Sdn. Bhd., Jimmy Chao berkata, konsep utama Xanadu Millennium adalah menawarkan kediaman mewah pada harga mampu milik, sekali gus memenuhi keperluan pembeli rumah pertama, keluarga muda dan pelabur.
Menurutnya, projek yang dibangunkan atas tanah seluas 5.66 ekar itu bersebelahan taman tasik awam seluas kira-kira empat ekar dan turut menawarkan status hak milik kediaman sepenuhnya (fully residential title).
“Kami percaya pemilikan kediaman berkualiti tidak seharusnya menjadi sesuatu yang sukar dicapai. Xanadu Millennium menawarkan keseimbangan antara harga, reka bentuk moden, kemudahan premium dan persekitaran hijau.
“Lebih menarik, terdapat juga pelbagai insentif termasuk subsidi yuran guaman dan duti setem bagi membantu mengurangkan kos kemasukan pembeli,” katanya selepas majlis pelancaran projek itu di sini semalam.
Beliau berkata, Xanadu Millennium menawarkan unit berkeluasan 695 hingga 1,323 kaki persegi dengan pilihan dua hingga empat bilik tidur yang sesuai untuk pasangan muda, keluarga dan pembeli yang ingin menaik taraf kediaman.
Mengulas mengenai profil pembeli, beliau berkata, sambutan yang diterima setakat ini terdiri daripada gabungan pembeli rumah pertama, pelabur dan pemilik kediaman yang ingin menaik taraf rumah dengan penyertaan pelbagai kaum.
Katanya, unit tiga dan empat bilik turut mendapat perhatian pelabur berikutan potensinya menjana pulangan sewaan yang baik manakala pembeli rumah pertama pula tertarik dengan harga permulaan yang kompetitif dan pelbagai insentif ditawarkan.
Selain menawarkan lebih 60 kemudahan dan fasiliti gaya hidup, pembangunan itu turut memperoleh pensijilan GreenRE Gold, sekali gus mencerminkan komitmen terhadap pembangunan mampan dan kecekapan tenaga.
“Gabungan harga kompetitif, status hak milik kediaman sepenuhnya, kemudahan lengkap dan lokasi strategik menjadikan Xanadu Millennium bukan sahaja sesuai untuk didiami, malah berpotensi memberikan pulangan pelaburan yang baik kepada semua pembeli,” katanya. – UTUSAN




