Syarikat kurier tidak buat panggilan kepada pelanggan minta pindahan wang – Polis

Syarikat kurier tidak buat panggilan kepada pelanggan minta pindahan wang – Polis

Kuala Lumpur: Syarikat kurier tidak akan membuat panggilan kepada pelanggan bagi meminta pindahan wang dilakukan untuk mendapatkan barangan mereka yang sedang dalam pemeriksaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sekiranya syarikat kurier mendapati bungkusan pelanggan mengandungi barang terlarang, syarikat itu perlu membuat laporan polis.

“Kalau ada pun barang terlarang dalam bungkusan, syarikat kurier yang perlu membuat laporan, bukannya telefon pelanggan dan beri amaran dan kemudian ada pula pegawai polis yang beri nasihat supaya bayar, ia tidak begitu.

“Kalau betul kita bawa barang terlarang, kita ialah suspek dan suspek tidak akan diberitahu seperti itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Kesedaran Penipuan Parcel di sini hari ini.

Beliau berkata RM505,440,000 kerugian membabitkan 9,422 kes penipuan telekomunikasi atau ‘phone scam’ dicatatkan di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga Julai 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd