zaky@bh.com.my
Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) hampir kecundang akibat kecuaian, kelemahan pengurusan kewangan serta budaya tamak dan kerakusan yang menjejaskan sebuah institusi dibina atas asas amanah serta kepercayaan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keadaan itu hampir menyebabkan TH terlungkup meskipun institusi berkenaan mempunyai sejarah gemilang sejak penubuhannya.
Beliau berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk menyebarkan keseluruhan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH bagi memastikan rakyat mengetahui hakikat sebenar yang berlaku.
“Jemaah Menteri bersetuju untuk menyebarkan seluruh laporan RCI Tabung Haji.
“TH adalah gedung mewah, megah, institusi yang mempunyai sejarah gemilang, diusulkan oleh seorang pejuang, pemikir dan sarjana ulung, Ungku Aziz (Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz), serta mencatat sejarah gemilang memberi khidmat kepada ratusan ribu jemaah,” katanya ketika berucap merasmikan ibu pejabat baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Pengerusi Maybank, Tan Sri Ir Zamzamzairani Mohd Isa; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Pengerusi Pemodalan Nasional Bhd (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Uda; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli.
Anwar berkata, institusi yang diasaskan oleh Ungku Aziz itu dibangunkan atas asas integriti, amanah dan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun, beliau berkata, institusi berkenaan hampir kecundang akibat kecuaian dan kegagalan menjaga kepentingan TH, termasuk dari aspek kewangannya.
“TH hampir terlungkup kerana kecuaian, tidak menjaga institusi termasuk aspek kewangannya, kerana tergelincir, tamak, haloba, kelalaian dan tarikan nafsu serakah yang memusnahkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




