am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Tindakan perundangan akan diambil terhadap pihak menyebabkan pencemaran di Ulu Sungai Johor, kelmarin.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan, tindakan bakal diambil di bawah peruntukan Enakmen Pejabat Tanah dan Galian (PTG) (Pelesenan) dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, JAS mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan pelepasan bahan pencemar ke dalam alam sekeliling tanpa kebenaran.
“Semakan mendapati aktiviti pengambilan pasir ini tidak tertakluk kepada penilaian impak alam sekitar atau EIA kerana melibatkan kawasan kurang daripada 20 hektar.
“Hasil mesyuarat antara JAS Johor bersama pihak PTG serta SPAN telah menetapkan bahawa tindakan perundangan akan diambil,” kata JAS dalam kenyataan, hari ini.
Tegas JAS lagi, pihaknya memandang serius pencemaran di kawasan Ulu Sungai Johor dekat Kota Tinggi dan telah mengambil tindakan segera termasuk siasatan yang bermula jam 11 pagi hari sama untuk mengenal pasti punca.
“Hasil siasatan mendapati pencemaran berpunca daripada kerosakan pada benteng silt pond di kawasan perlombongan pasir, menyebabkan aliran air berlumpur mengalir secara graviti ke alur air berhampiran dan seterusnya memasuki Sungai Johor.
“Pihak syarikat telah mengambil tindakan awal dengan menambak semula benteng yang pecah serta menaikkan paras benteng silt pond bagi menghentikan aliran air berlumpur daripada terus memasuki sungai,” katanya.
Menurut JAS, pihaknya telah mengeluarkan Field Citation (FC) kepada syarikat terbabit untuk mengemukakan laporan terperinci mengenai kerja-kerja penambahbaikan benteng kolam yang pecah.
JAS juga mengeluarkan arahan supaya syarikat melaksanakan pemantauan berterusan ke atas semua kolam yang beroperasi bagi memastikan tiada insiden pencemaran berulang.
“Pemantauan bersepadu di lapangan bersama agensi-agensi berkaitan seperti Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Ranhill SAJ masih diteruskan.
“Agensi-agensi teknikal yang terlibat juga terus menjalankan pemantauan kualiti air bagi memastikan tiada impak serius terhadap operasi loji rawatan air dan sumber bekalan air awam,” kata JAS yang akan memastikan tiada lagi aliran air berlumpur atau bahan pencemar memasuki sistem sungai berhampiran selepas kerja-kerja pembaikan selesai.
Mana-mana pihak menyebabkan pencemaran alam sekitar boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, bergantung kepada kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




