‘Syed Saddiq, pulanglah ke Muar jangan politik isu banjir Segamat’

SEGAMAT: Majlis Belia Daerah Segamat kesal dengan kenyataan dan tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang telah mempolitikkan isu bencana banjir di negeri ini khususnya di Segamat, baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Segamat, Mohd. Faiz Mohamad berkata, sejak awal bencana itu berlaku, mereka sendiri bersama pelbagai pihak telah bertungkus-lumus membantu mangsa-mangsa banjir yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah dan agensi-agensi kerajaan.

“Usaha ini telah bermula daripada persediaan menghadapi banjir, semasa banjir dan pasca banjir lagi. Kami tiada masalah mengikuti dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Selain daripada penyelarasan, SOP ini penting bagi tujuan membendung dan mengawal penularan Covid-19 di Segamat,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Faiz, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu hanya tiba ke Segamat beberapa hari yang lalu bagi melaksanakan misi banjir di daerah berkenaan walaupun bencana terbabit bermula sejak 31 Disember lalu.

Katanya, Southern Volunteers yang digerakkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut turun padang tanpa jemu membantu sepanjang bencana banjir di Segamat dan seluruh Johor.

“Cukup-cukuplah Yang Berhormat Syed Saddiq bersandiwara di Johor ini. Kami sarankan mana-mana parti politik termasuk Parti Muda bersama-sama menggembleng tenaga bagi membantu rakyat di Segamat dan Johor keseluruhannya.

“Jangan menangguk di air yang keruh di kala rakyat tengah susah. Saya juga ingin menasihatkan Yang Berhormat Syed Saddiq agar balik ke Muar kerana mereka masih lagi memerlukan bantuan di sana,” katanya.

Semalam, Polis Johor memaklumkan mereka melakukan siasatan terhadap parti politik yang didakwa melanggar SOP dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Segamat. 

Syed Saddiq mendakwa enam sukarelawan Muda disoal siasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menyampaikan bantuan secara terus kepada mangsa banjir di rumah dan pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau turut memohon maaf dan mengharapkan budi bicara pihak berkuasa terhadap sukarelawan parti itu yang turun padang memberi bantuan kepada mangsa banjir di Segamat. – UTUSAN