SEHARI dua ini berita yang paling mengemparkan politik Dunia Islam khususnya Timur Tengah ialah pengisytiharan Donald Trump dalam lawatannya ke Arab Saudi bahawa sekatan ekonomi ke atas Syria dihapuskan dan buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun Syria bebas dari sebarang sekatan.
Kejayaan ini adalah hasil usaha yang dilakukan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohamad bin Salman dan Presiden Turkiye, Recep Tayib Erdogan.
Keputusan ini bukanlah kosong dan sudah tentu mempunyai timbang balas yang mesti dibayar dengan harga yang mahal.
Sekurang-kurangnya tiga habuan yang diperolehi oleh Amerika Syarikat: Pertama pemerintah Syria menerima ‘Abraham Accord’ dengan erti kata lain adalah keterbukaan untuk normalisasi dengan Zionis-Israel. Kedua ‘kumpulan pengganas Palestin’ hendaklah dihalau keluar dari Syria dan ketiga pembangunan infrastruktur Syria yang hancur akibat perang akan dibangunkan oleh Barat dan sekutunya.
Pihak berkuasa Syria memberi alasan menjadi keutamaannya untuk membangunkan kembali Syria setelah kehancuran akibat perang saudara yang bermula sejak 2012 yang mengorbankan ribuaan nyawa.
Presiden Syria, Ahmad Al-Shara’a dalam kenyataannya menyebut, Syria tidak akan terlibat dengan konflik luar bahkan akan memberi penumpuan untuk membangunkan negara yang musnah akibat perang.
Perkembangan ini membuka lembaran baharu kepada Syria namun akan berdepan dengan cabaran yang sangat besar.
Cabaran dalaman ialah mengembalikan kestabilan politik dengan menyatukan pelbagai kumpulan yang mempunyai kepentingan masing-masing. Tidak mudah untuk rakyat Syria menerima suasana baharu khususnya normalisasi dengan Zionis-Israel yang merupakan musuh tradisi sejak zaman berzaman.
Pada zahirnya perkembangan ini menguntungkan Zionis-Israel, namun di sebalik tabir ekstremis Yahudi sangat tidak berpuas hati kerana peluangnya untuk menakluk Syria terbantut.
Tidak mustahil sebagai timbang balas, Amerika Syarikat akan menuntut tentera penjajah Zionis-Israel agar berundur dari bumi Syria yang dirampas di sebelah Bukit Golan dan selatan Syria. Persoalaannya adakah Zionis-Israel akan menurut arahan Amerika Syarikat?
Sebagai rumusan, perkembangan terkini bumi Syria begitu meyakinkan namun masih banyak ranjau-ranjau yang bakal ditempohi.
Kita doakan mudah-mudahan Allah SWT memelihara bumi Syria dari perancangan jahat musuh Islam.
YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
16 Mei 2025 – HARAKAHDAILY 16/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!