Damsyik: Tentera Israel meningkatkan pencerobohan di wilayah selatan Syria, Quneitra pada Selasa sekali gus mencabuli kedaulatan negara itu, lapor Agensi Berita Arab Syria (SANA).
Penduduk tempatan Syria memaklumkan kepada agensi berita SANA bahawa rejim Zionis telah mengerahkan empat kereta kebal dari kawasan Al-Hurriya ke kampung Ufaniya di utara Quneitra, manakala dua lagi kenderaan tentera memasuki lokasi yang sama.
Penduduk turut melihat kereta kebal serta kira-kira 10 kenderaan tentera Israel tiba di kawasan sekitar Tal al-Ahmar dan Ain al-Nouriya di barat daya Quneitra.
Kereta kebal itu kemudian ditempatkan di sepanjang jalan yang menghubungkan Sekolah Tinggi Pertanian dan Kilang Minyak Al-Faqir, sebelum meneruskan perjalanan di lebuh raya antara Ain Aisha dan bandar Khan Arnabeh.
Tentera Israel dilaporkan meningkatkan serangan di wilayah Syria, melanggar Perjanjian Pemisahan 1974 dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.
Syria mengecam serangan berkenaan dan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas bagi menghentikan rejim itu.
Quneitra berada di bawah kawalan Syria dalam zon bebas tentera yang dipantau oleh PBB antara Syria dan Bukit Golan, yang diduduki dan diilhakkan oleh Israel pada 1967 – satu tindakan yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada akhir 2024, Israel dilaporkan meluaskan pendudukannya di zon bebas tentera, sekali gus melanggar perjanjian dengan Syria.
© New Straits Times Press (M) Bhd




