'Syukur anak dapat ke sekolah seperti biasa'

'Syukur anak dapat ke sekolah seperti biasa'

am@hmetro.com.my

Subang Jaya: Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru bersyukur apabila anak-anak dapat ke sekolah seperti biasa apabila buku sekolah tidak terbakar dalam insiden kebakaran di Putra Heights, Selasa lalu.

Syahidatul Fadzrieha Mohd Samsol, 32, berkata selain itu, dua anaknya berusia lapan dan enam tahun turut mendapat bantuan pakaian sekolah.

“Syukur Alhamdulillah, anak-anak mendapat bantuan persekolahan dan jika tiada apa-apa masalah, mereka boleh bersekolah seperti biasa Isnin ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini, hari ini.

Menceritakan mengenai detik mencemaskan, ibu kepada tiga anak itu berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi ketika dia dan keluarga sedang bersiap untuk pulang beraya di Banting.

Katanya, pada 6.57 pagi, dia ke belakang rumah untuk membasuh baju di luar rumah dan suaminya keluar merokok di hadapan rumah.

“Tepat 8 pagi, kami terdengar bunyi kuat seperti gas bocor dan bunyi seperti kapal terbang jatuh, dan kami terus keluar dari rumah.

“Suami (Mohd Khairuddin Abdul Rahim, 33) nampak langit merah dan apabila pusing ke belakang rumah, baru nampak api yang menjulang tinggi. Saya juga ternampak bumbung kereta berasap.

“Suami menjerit menyuruh kami berlari menyelamatkan diri dan tiba-tiba anak bongsu berusia tiga tahun mengadu kaki melecur,” katanya yang tidak sempat menyelamatkan barang berharga.

Syahidatul berkata, mereka berlari selama 20 minit sehingga berhampiran sungai dan ketika sedang berlari itu, ternampak anak-anak jiran yang terjun longkang kerana sudah melecur pada badan.

“Kami bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius kecuali anak bongsu yang melecur sedikit pada kaki,” katanya yang sudah tiga tahun menyewa di kampung berkenaan.

Kakitangan swasta itu berkata, dia berkesempatan pulang sebentar ke rumah untuk mengambil barangan berharga dan mendapati tangki air rumah cair, bumbung rumah roboh, paip air pecah, selain bahagian plastik dan cat dua keretanya cair.

Katanya, ketika pulang sebentar itu, dia terbau gas yang kuat dan memakai pelitup muka bagi mengelak sebarang masalah.

“Saya sudah mula risau dengan projek pembinaan yang sedang dijalankan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas bawah tanah sejak Disember lagi.

“Tidak sangka kebimbangan saya itu menjadi kenyataan apabila berlaku insiden kebakaran ini,” katanya.

Susulan kejadian itu, dia dan keluarganya mula tinggal di PPS sejak Rabu lalu dan syukur mendapat banyak bantuan yang sewajarnya termasuk kewangan.

“Cuma, kalau boleh kami juga mahu bantuan membaiki rumah dan membaiki kereta yang rosak,” katanya.

Selasa lalu, media melaporkan kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights di sini, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Kebakaran saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat dari jarak beberapa kilometer.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top