'Syukur dengan bantuan Al-Sultan Abdullah, kami sekeluarga akan dapat bekalan elektrik'

'Syukur dengan bantuan Al-Sultan Abdullah, kami sekeluarga akan dapat bekalan elektrik'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Jerantut: Selepas hampir 13 tahun menanti, Muhammad Ramadhan Abd Hamid boleh tersenyum lebar selepas permohonan mendapatkan bekalan elektrik untuk kediamannya diluluskan.

Ia hasil pertemuan empat mata Muhammad Ramadhan, 30, dengan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.

Menerusi video dimuat naik di TikTok, Muhammad Ramadhan Abd bersama isteri, Nur Afiqah Malek, 32, dan anak mereka, Muhammad Afiq Danial yang berumur lima tahun dilihat berdiri memegang papan tertera ayat ‘Ampun Tuanku Mohon Berhenti Sekejap’ sebelum menahan kenderaan dinaiki Al-Sultan Abdullah.

Ikhtiar Muhammad Ramadhan berhasil apabila kenderaan itu berhenti hingga dia berpeluang bertemu dan mengadu masalah secara terus dengan Al-Sultan Abdullah.

Menceritakan kisah itu, Muhammad Ramadhan dari Kampung Kuala Sat Ulu Tembeling, di sini berkata, dia bersama isteri juga anaknya menunggu di tepi jalan dekat hadapan rumah sejak jam 6.30 pagi dengan harapan dapat bertemu Al-Sultan Abdullah.

“Difahamkan, Tuanku mencemar duli menghadiri program tiga hari dua malam dan merasmikan sebuah masjid di kampung Orang Asli.

“Jadi sejak malam lagi saya sudah bersedia dengan tulis ayat berkenaan di atas papan.

“Keesokannya, saya sanggup tutup warung kerana nak bersedia tunggu kenderaan yang membawa Tuanku di tepi jalan. Lebih tiga jam juga saya menunggu dan dapat berjumpa Tuanku kira-kira jam 10 pagi dan syukur kerana kenderaan membawa baginda berhenti,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pertemuan hampir 20 minit itu, Muhammad Ramadhan yang pengusaha warung dan bengkel motosikal meluahkan masalahnya kepada Al-Sultan Abdullah kerana menganggap ia sebagai peluang keemasan buatnya.

“Saya minta jasa baik Tuanku untuk bantu dan baginda mendengar kemudian beritahu akan cuba membantu.

“Hari yang sama iaitu dalam jam 3.30 petang, saya dapat panggilan daripada pihak kontraktor yang permohonan saya diluluskan.

“Bukan hanya saya malah anak dan isteri juga gembira sampai tak terkata… syukur sangat kerana Tuanku berjiwa rakyat dan dengan bantuan baginda, kami sekeluarga akan dapat bekalan elektrik.

“Sebelum ini, kami terpaksa bergantung dengan bateri lori yang disambung dengan solar untuk menerangi rumah. Itu pun tak membantu sangat kerana bekalan yang ada hanya boleh digunakan untuk mengecas telefon jadi tak dapat beli perkakas elektrik seperti peti ais juga kipas,” katanya.

Menurut Muhammad Ramadhan, tiang elektrik sudah tiba dan difahamkan, bekalan akan disambungkan dalam waktu terdekat.

Katanya, tiada kata dapat diungkapkan melainkan syukur dan berterima kasih kepada Al-Sultan Abdullah atas keprihatinan baginda.

“Saya ada buat permohonan pihak kontraktor dan pejabat daerah sekitar Oktober tahun lalu.

“Tapi saya faham ada masalah juga untuk luluskan sambungan bekalan kerana jarak rumah ke tiang elektrik sedia ada agak jauh iaitu dalam satu kilometer (km).

“Tapi itu usaha saya boleh lakukan dan akhirnya, ada juga rezeki untuk kami sekeluarga selepas bertemu dengan Tuanku.

“Cuma saya minta jasa baik orang ramai tidak menyalahkan mana-mana pihak selepas menonton video saya kongsikan kerana saya percaya, mereka sudah melakukan yang terbaik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top