aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin mengakui penyenaraiannya dalam program Road to Gold (RTG) menjadi suntikan semangat baharu buat dirinya menjelang temasya Komanwel di Glasgow dan Sukan Sea tahun depan.
Aznil yang buat kali pertama disenaraikan dalam program elit negara itu berkata, dia memang menyimpan harapan untuk berada dalam RTG berdasarkan pencapaiannya sebelum ini di pentas antarabangsa.
Menurut atlet berusia 31 tahun itu, prestasi cemerlang ketika beraksi dalam kategori 67 kilogram (kg) di Kejohanan Dunia di Bahrain menjadi titik permulaan sebelum perubahan kategori diperkenalkan.
“Saya memang berharap dapat masuk RTG sebab masa di Bahrain dulu saya berada dalam ranking lima terbaik dunia untuk kategori 67kg.
“Tapi selepas itu kategori baharu 65kg diperkenalkan untuk Olimpik dan kategori 67kg dibubarkan. Jadi mereka mahu tengok prestasi saya dalam kategori 65kg pula,” katanya kepada Harian Metro.
Aznil berkata, dia kemudian membuktikan kemampuan sebenar dalam kategori baharu itu menerusi beberapa kejohanan termasuk di Kejohanan Angkat Berat Dunia tahun lalu sehingga berjaya kembali berada dalam kelompok lima terbaik dunia.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu berkata, status RTG memberi motivasi tambahan buat dirinya untuk mempertahankan emas pada temasya Komanwel nanti.
“Saya harap dengan bantuan RTG akan dapat membantu saya mencapai prestasi terbaik di Sukan Sea dan Komanwel. Untuk Komanwel saya mahu pertahankan emas.
“Insya-Allah saya akan cuba lakukan angkatan terbaik dan mungkin pecahkan rekod kebangsaan di sana,” katanya.
Mengulas pencabar utama dalam kategori 65kg, Aznil menjelaskan atlet India dan Papua New Guinea dijangka menjadi cabaran terbesar.
Aznil menyasarkan angkatan keseluruhan seberat 310 kilogram (kg) bagi memburu pingat emas hatrik pada temasya Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
Untuk rekod, Muhammad Aznil memenangi pingat emas dalam kategori 62kg pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia dan mengulangi pencapaian sama dalam kategori berbeza, iaitu 61kg pada edisi di Birmingham, England empat tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




